PENGENALAN
Jabatan ini telah ditubuhkan seawal tahun 1970-an untuk melengkapi institusi kesihatan yang kian berkembang pada masa itu. Ia adalah salah satu cawangan daripada Institusi Perubatan Forensik Negara dan merupakan pusat rujukan bagi hospital sekitar Melaka dan Johor. Jabatan ini bertempat di bangunan Kemboja, berhampiran dengan Klinik Pesakit Luar Mahmoodiah Johor Bahru.
VISI, MISI & OBJEKTIF
VISI
Memberi perkhidmatan forensik yang cemerlang, profesional tanpa dipengaruhi oleh manamana pihak dengan berlandaskan kepada peruntukan yang ada di dalam undang-undang negara dan sistem pengurusan berkualiti.
MISI
Jabatan Perubatan Forensik akan menyediakan perkhidmatan forensik yang cemerlang, dinamik, menggunakan teknologi terkini dengan wargakerja yang berilmu, berjiwa murni, peka terhadap keperluan dan kepuasan pelanggan berteraskan budaya kualiti kerja berpasukan dan profesionalisme.
OBJEKTIF
Jabatan Perubatan Forensik bertanggungjawab ke atas perkara-perkara yang berkaitan seperti :
- Meningkatkan taraf perubatan forensik di Malaysia bagi menyokong sistem perundangan di Negara ini.
- Menyediakan perkhidmatan forensik yang menyeluruh dengan memberikan perkhidmatan forensik yang bebas dan berkecuali serta tidak terikat dengan manamana pihak demi keadilan.
- Mewujudkan kemahiran dan kecekapan di kalangan kakitangan perubatan dan pengkhususan bagi mengendalikan kes-kes medikolegal yang lebih efektif.
- Memberikan khidmat nasihat, khidmat pakar dan pengendalian mayat yang lebih cekap dan mahir.
- Meningkatkan taraf perkhidmatan sejajar dengan perkembangan teknologi baru untuk membenteras jenayah.
- Menjalankan kaji selidik dan mempromosikan penyelidikan dalam bidang perubatan forensik dan sains forensik untuk meningkatkan lagi perkhidmatan yang menyeluruh.
- Mengadakan hubungan inter dan intra jabatan yang terlibat dengan masalah forensik.
PIAGAM PELANGGAN
- Masa untuk mengambil jenazah dari wad / Jabatan Kecemasan dan Trauma adalah dalam tempoh 1 jam dari masa petugas mortuari dimaklumkan tentang kes kematian tersebut oleh pihak wad / Pejabat Daftar Masuk.
- Masa membuat serahan jenazah bersama-sama dokumen-dokumen berkaitan kepada waris terdekat adalah dalam tempoh 30 minit selepas tuntutan oleh waris dilakukan.
- Masa menunggu bedahsiasat medikolegal dijalankan adalah dalam tempoh 2 – 4 jam setelah semua petugas yang terlibat (termasuk pasukan polis) telah hadir di mortuari sebelum bedahsiasat dilakukan.
- Masa menunggu laporan bedahsiasat adalah dalam tempoh 3 bulan dari tempoh laporan bedahsiasat dipohon bagi kes-kes bukan pakar/ kurang rumit.
PERKHIDMATAN KAMI
- Perkhidmatan asas mortuari iaitu bertindak menguruskan jenazah yang datang dari wad hospital dan yang dibawa dari luar oleh pihak polis (kes ‘brought in dead’-BID).
- Berfungsi sebagai tempat penyimpanan sementara jenazah.
- Penyimpanan dan pengurusan jenazah yang tidak dituntut.
- Melakukan bedahsiasat medikolegal seperti kes jenayah (homicide), kemalangan jalan raya (motor vehicle accident), kes membunuh diri (suicide) dan sebagainya setelah memperoleh kebenaran polis melalui borang Polis 61.
- Pengendalian spesimen medikolegal semasa bedahsiasat bagi menentukan sebab kematian atau membantu memberikan maklumat kepada polis dalam penyiasatan medikolegal.
- Menyediakan laporan bedahsiasat dan memberikan pendapat pakar dalam bidang perubatan forensik untuk digunakan oleh pihak polis, peguam, insurans dan mahkamah.
- Menghadiri sesi mahkamah sebagai saksi profesional atau saksi pakar.
- Melakukan lawatan dan siasatan di tempat kejadian.
- Menjadi pusat pemeriksaan untuk semua kes penemuan rangka tulang manusia yang ditemui di seluruh negeri Johor.
- Menyelia penggalian semula kubur (exhumation)
- Memberikan konsultasi melalui telefon apabila dihubungi oleh hospital luar atau hospital di dalam kawasan liputan.
- Memberikan syarahan dan tunjuk ajar kepada pegawai pelatih separuh perubatan, mahasiswa perubatan, pegawai polis, pegawai perubatan, pegawai perubatan pasca siswazah dan lain-lain.
- Pengurusan kematian dalam bencana ramai mangsa (mass disaster) dan wabak penyakit.
- Menjadi Pusat Identifikasi Orang Hilang (CEMPID -Centre for Missing Person Identification)
WAKTU OPERASI
Pada hari bekerja mengikut waktu pejabat iaitu :
Isnin hingga Jumaat : 8.00 pagi – 5.00 petang
(Waktu rehat adalah dari pukul 1 – 2 petang bagi hari Isnin hingga Khamis dan 12.15 – 2.45 petang bagi hari Jumaat* ).
Selepas waktu pejabat / Sabtu / Ahad / Kelepasan Am adalah waktu beroperasi secara atas panggilan oleh pegawai-pegawai yang telah ditugaskan.
PIAWAIAN
Jabatan Perubatan Forensik menggunakan beberapa piawaian dalam tatacara pengendalian jenazah untuk bedahsiasat iaitu :
- Kanun Prosedur Jenayah (Criminal Procedure Code)
- Garispanduan Bedahsiasat Mayat di Hospital-hospital Kementerian Kesihatan Malaysia - MOH/P/PAK/170.08 (CL).
- Laws of Malaysia; Human Tissue Act 1974, Section 4: Body of Deceased Person in Hospital.
Fatwa berkenaan bedahsiasat:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-25 yang bersidang pada 13 Disember 1989 telah memutuskan;
“Pembedahan mayat orang Islam hanya boleh dilakukan jika keadaan benar-benar memerlukan (dharurat) sahaja seperti terlibat di dalam kes-kes jenayah yang sangat memerlukan post mortem atau si mati tertelan benda yang berharga atau si mati yang sedang mengandung sedangkan kandungannya masih hidup.”
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-61 yang bersidang pada 27 Januari 2004 dalam membincangkan mengenai hukum bedahsiasat mayat yang kematian bukan dikategorikan kes jenayah telah memutuskan;
“Hukum asal pembedahan mayat adalah haram tetapi dibolehkan sekiranya dalam keadaan dharurat dan terdapat keperluan yang mendesak seperti membuat kajian terhadap penyakit, mengenalpasti punca kematian dan penyelidikan serta pendidikan khususnya dalam bidang perubatan.”
1) Objektif Bedahsiasat Mayat
Pembedahan yang dilakukan ke atas mayat mempunyai objektif-objektif tertentu di antaranya:
i. Untuk mengesahkan identiti si mati.
ii. Untuk mengenalpasti sebab kematian.
iii. Untuk mengetahui punca, cara dan masa kematian.
iv. Untuk menghilangkan keraguan mengenai sebab kematian.
v. Untuk menunjukkan penyakit dan kecacatan.
vi. Untuk mengesan, menggambar dan mendokumenkan penyakit dan kecederaan luar serta dalam.
viii. Mendapatkan sampel untuk dikaji seperti kajian kuman, tisu abnormal dan lain-lain.
viii. Untuk mengambil gambar dan rakaman video bagi tujuan bukti/ barang kes.
ix. Untuk menyediakan laporan bertulis yang lengkap tentang penemuan dalam pemeriksaan mayat.
x. Untuk memberi perkhidmatan pakar tentang interpretasi penemuan semasa pemeriksaan mayat.
xi. Untuk memulih semula keadaan mayat yang cedera teruk sebaik mungkin sebelum diserahkan kepada waris.
xii. Untuk pengajian akademik, menjalankan kajian dan penyelidikan dalam bidang perubatan.
xiii. Untuk meningkatkan kepakaran.
xiv. Untuk membuat kajian rawatan sesuatu penyakit.
xv. Untuk keperluan undang-undang.
2) Jenis-jenis Bedahsiasat Mayat
i. Bedahsiasat Klinikal
Bedahsiasat mayat dijalankan bagi mengesahkan punca kematian, kesan sesuatu penyakit atau kecederaan serta bagi tujuan pembelajaran dan penyelidikan. Kes-kes kematian ini tidak berkait dengan kes Polis seperti kes penyakit mudah berjangkit atau kematian di wad. Pegawai Perubatan Kerajaan perlu mendapat keizinan dari waris sebelum membuat bedahsiasat. Dalam kes-kes yang melibatkan kepentingan umum seperti kes di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), bedahsiasat mayat dibolehkan tanpa perlu merujuk atau mendapat keizinan waris.
ii. Bedahsiasat Medikolegal
Bedahsiasat ke atas mayat yang dikaitkan dengan kes Polis seperti kemalangan, mati lemas, kebakaran, pembunuhan dan kematian yang disyaki/ tidak pasti sebabnya. Majistret atau Polis akan mengeluarkan arahan (Borang Polis 61) kepada Pegawai Perubatan Kerajaan untuk menjalankan bedahsiasat mayat tanpa perlu merujuk atau mendapat keizinan waris.
3) Keperluan Bedahsiasat Mayat
i. Bedahsiasat mayat dilakukan kerana ia keperluan undang-undang untuk membuktikan kebenaran dan menegakkan keadilan bagi si mati dan waris.
ii. Bedahsiasat mayat dapat mengelakkan perkara yang tidak diingini yang timbul di masa hadapan setelah mayat dikebumikan.
iii. Hasil bedahsiasat mayat dapat digunakan bagi menyelamatkan dan melindungi orang ramai daripada penyakit berjangkit yang berbahaya pada masa akan datang.
iv. Bedahsiasat mayat dapat menambah ilmu dan kepakaran dalam bidang perubatan.
v. Kajian daripada hasil bedahsiasat mayat dapat meningkatkan tahap kesihatan dan keharmonian hidup masyarakat.
Sumber (diakses pada 11 Julai 2011): http://www.islam.gov.my/garis-panduanbedah-siasat-mayat-menurut-perspektif-islam
PROSES TUNTUTAN JENAZAH
1) Semasa menuntut jenazah, pihak waris perlu mengemukakan dokumen seperti berikut:
- kad pengenalan atau dokumen pengenalan diri pihak waris
- kad pengenalan atau dokumen pengenalan diri si mati
Sekiranya ketiadaan waris yang paling hampir (contohnya: berada jauh di negeri yang tidak memungkinkan waris tersebut datang untuk menuntut), maka jenazah bolehlah dituntut oleh seseorang lain bagi pihak waris dengan syarat satu surat kebenaran (Authority Letter) dikemukakan.
Bagi warganegara asing, surat pelepasan dan kebenaran dari kedutaan masing-masing perlulah dikemukakan sebelum jenazah diekspot ke negara asal.
2) Dokumen-dokumen seperti berikut akan diberikan kepada pihak waris semasa tuntutan jenazah dibuat:
- Permit Menguburkan
- Borang JPN.LM09 atau JPN.LM10 (Post Mortem) (Borang pengakuan sebab-sebab kematian oleh Pegawai Perubatan)
- Borang JPN.LM02 (Borang komputer bagi pendaftaran kematian di Jabatan Pendaftaran Negara untuk mendapatkan Sijil Kematian)
Perkhidmatan pengendalian jenazah dari wad ke mortuari, seterusnya diserahkan kepada waris di mortuari adalah dianggap selesai setelah dokumen tersebut diserahkan.
PROSES PENDAFTARAN KEMATIAN DI JABATAN PENDAFTARAN NEGARA
MENDAFTAR KEMATIAN BIASA
Pemohon daftar kematian biasa adalah kematian yang berlaku di Malaysia dan didaftarkan dari tempoh 7 hari dari tarikh kematian.
PROSEDUR PERMOHONAN
Pemohon perlu mengisi borang JPN.LM02 dengan lengkap dan disertakan dengan dokumen sokongan. Pendaftaran kematian boleh dibuat di mana-mana Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara di seluruh Semenanjung Malaysia.
DOKUMEN SOKONGAN
- Kad Pengenalan atau dokumen pengenalan diri si mati yang asal
- Kad Pengenalan atau dokumen pengenalan diri pemaklum
- Dokumen bukti kematian seperti permit perkuburan
- Perakuan oleh Pengamal Perubatan mengenai sebab-sebab kematian [Borang JPN.LM09 atau JPN.LM10 (Post Mortem)]
BAYARAN
Bayaran permohonan adalah percuma. Sumber (diakses pada 11 Julai 2011): http://www.jpn.gov.my/kematian-semenanjung