Category: Fiqh Perubatan

  • Guna Inhaler Semasa Puasa

    Soalan : Di beberapa farmasi ada inhaler yang digunakan oleh sebahagian pengidap athma. Adakah orang yang berpuasa boleh menggunakannya di siang hari Ramadhan?

    Dijawab oleh Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin;

    Menggunakan inhaler bagi yang berpuasa hukumnya boleh, sama ada ianya puasa Ramadhan ataupun yang lainnya. Kerana inhaler itu tidak sampai ke perut tapi hanya berfungsi melegakan saluran pernafasan dan penggunaannya pun hanya dengan bernafas seperti biasa. Jadi hal ini tidak seperti makan dan minum.

    Sebagaimana diketahui, bahawa hukum asal puasanya adalah sah sampai ada dalil yang menunjukkan rosaknya puasa, baik dari Al-Kitab, As-Sunnah, Ijma’ ataupun Qiyas yang Sahih.

    [Fadha’il Ramadhan, disusun oleh Abdurrazaq Hasan, Soalan no. 1]

    [Disalin dari bukuAl-Fatawa Asy-Syar’iyyah Fi Al-Masa’il Al-Ashriyyah Min Fatawa Ulama Al-Balad Al-Haram, edisi Indonesia Fatwa-Fatwa Terkini, Penerbit Darul Haq]

    Sumber :Disunting dan dialihbahasa dari http://www.almanhaj.or.id/

  • Merokok Semasa Puasa Ramadan

    Soalan : Saya tahu bahawa merokok diharamkan oleh sebahagian ulama’. Bagaimanapun, saya ingin bertanya sebab rokok diharamkan semasa puasa. Apabila seseorang merokok, dia tidak memasukkan cecair atau makanan ke mulutnya.

    Jawapan : Merokok adalah haram, maka tidak dinafikan lagi ia juga dilarang ketika berpuasa.

    Berhubung sebab mengapa merokok membatalkan puasa, ini kerana rokok mengandungi partikel yang sampai ke perut.

    Syaikh Ibn Uthaymin pernah ditanya mengenai orang berpuasa yang menghidu wangian perfum. Katanya;

    “Adalah dibenarkan untuk menggunakan dan menghidu wangian perfum semasa siang Ramadan, kecuali asap kemeyan (atau gaharu). Asap kemeyan dan gaharu ini mengandungi partikel yang sampai ke perut, iaitu dari asapnya.”

    (Fatawa Islamiyyah, 2/128)

    Menghisap rokok seperti juga menghidu asap kemeyan dan gaharu, kerana kedua-duanya mengandungi partikel-partikel. Namun kedua-duanya berbeza dalam hukum asasnya; menghidu kemeyan adalah halal dan baik, sedangkan merokok haram dan mendatangkan keburukan.

    Sumber : Diterjemah dan disunting dari http://islamqa.com

  • Pil Cegah Haid

    Soalan: Boleh seorang wanita memakan pil menghalang datangnya haid pada bulan ramadan atau ketika ingin menunaikan haji dan umrah? Sekiranya telah datang waktu haidnya tetapi haid tidak ada disebabkan pil tersebut, apakah ibadatnya sah?

     

    Jawapan: Pertama, dia boleh menggunakan pil kerana tiada dalil syarak yang melarang perbuatan tersebut. Adalah menjadi kaedah bahawa asal sesuatu perkara itu dalam urusan kehidupan adalah harus, sehingga adanya dalil ianya dilarang. Demikianlah penggunaan pil tersebut, ianya harus kerana tiada dalil yang melarangnya.

    Kedua, jika haid seseorang wanita tidak datang disebabkan pil tersebut maka dia dianggap tidak dalam haid dan sah ibadatnya. Ini kerana haid dihukum ada berdasarkan darah yang keluar, bukan berdasarkan andaian waktu. Maka dia boleh meneruskan ibadahnya dengan yakin tanpa sebarang syak.

    Sumber : http://drmaza.com/ dengan judul asal Pil Perancang