MAJLIS BAKTI DISANJUNG BUDI DIJUNJUNG JABATAN KESIHATAN NEGERI JOHOR TAHUN 2024
Jabatan Kesihatan Negeri Johor telah mengadakan Majlis Bakti Disanjung, Budi Dijunjung bagi tahun 2024 pada 13 Oktober 2024 bertempat di Ballroom 1, Aras 23 Hotel New York, Johor Bahru. Majlis yang bermula jam 2.00 petang itu turut dihadiri oleh semua Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Pengarah Hospital, Pegawai Kesihatan Daerah, Pegawai Kesihatan Pergigian Daerah serta semua pesara dan bakal pesara tahun 2024 yang diraikan. Majlis ini dirasmikan oleh Pengarah Kesihatan Negeri Johor, iaitu YBrs. Dr. Haji Mohtar bin Pungut @ Haji Ahmad.
Majlis ini adalah acara tahunan yang diadakan bagi memberikan penghargaan dan terima kasih kepada warga Jabatan Kesihatan Negeri Johor yang bersara dan yang akan menamatkan perkhidmatan mereka dengan kerajaan pada tahun 2024. Majlis ini turut diadakan sebagai tanda sanjungan budi yang tidak terhingga oleh jabatan atas khidmat bakti yang dicurahkan sepanjang menganggotai Jabatan Kesihatan Negeri Johor.
Majlis telah diserikan lagi dengan persembahan kumpulan zapin daripada Hospital Permai, Johor Bahru dan kumpulan muzik busker daripada Pejabat Kesihatan Pergigian Kluang. Sebagai tanda penghargaan kepada pesara dan juga bakal pesara, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor telah menyampaikan sijil penghargaan dalam majlis tersebut. Majlis tersebut telah diakhiri dengan jamuan minum petang dengan diiringi dengan persembahan zapin dan muzik busker.