|
|
|
Hospital Pasir Gudang merupakan hospital kerajaan pertama yang dibangunkan khusus untuk memenuhi keperluan penjagaan kesihatan masyarakat di kawasan Pasir Gudang dan kawasan sekitarnya. Dengan keluasan tanah 20 hektar (50.62 ekar) dan tapak bina 26.44 ekar dengan jarak 20 km daripada pusat bandar, Hospital Pasir Gudang dibina dengan pelbagai perkhidmatan jabatan perubatan serta klinik-klinik pakar bagi memudahkan rakyat mendapatkan rawatan kesihatan yang berkualiti dan menyeluruh. Projek pembinaan Hospital Pasir Gudang diumumkan sebagai sebahagian usaha kerajaan untuk menangani peningkatan jumlah pesakit serta beban kesesakan di fasiliti kesihatan kerajaan seperti Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Sultan Ismail. Kerja-kerja pembinaan Hospital Pasir Gudang dimulakan selepas sekitar tahun 2018 di Bandar Seri Alam, Masai, Johor. Sepanjang tempoh pembinaan, projek ini melalui beberapa cabaran, termasuk penyesuaian jadual semasa pandemik COVID-19. Namun, perkembangan keseluruhan hospital ini kekal positif dan tidak tersenarai sebagai projek bermasalah dan berjaya direalisasikan pada tahun 2025. Hospital Pasir Gudang diserahkan secara rasmi oleh Kementerian Kerja Raya kepada Kementerian Kesihatan Malaysia pada 29 Jun 2025 dan memulakan pengoperasian secara berfasa pada 1 Ogos 2025 dengan perkhidmatan awal yang melibatkan perkhidmatan klinik-klinik pakar. Hospital Pasir Gudang direka bentuk sebagai sebuah hospital pakar major dengan kapasiti 304 katil, dilengkapi kemudahan moden merangkumi dewan bedah, unit rawatan rapi, perkhidmatan kecemasan, pusat rawatan pesakit luar, serta menawarkan kemudahan untuk kebajikan kakitangan iaitu kemudahan kuarters kakitangan, 20 “on-call-suite” dan asrama jururawat. Pengoperasian penuh Hospital Pasir Gudang dijangka dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan setiap perkhidmatan memenuhi keperluan keselamatan, sumber manusia dan kesiapsiagaan fasiliti untuk rakyat. Penubuhan Hospital Pasir Gudang menandakan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh sistem kesihatan awam serta menyediakan akses rawatan yang lebih dekat, selamat dan berkualiti kepada penduduk setempat. |
