Jabatan Dietetik & Sajian
Informasi
Jabatan Dietetik dan Sajian Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) terletak di bawah direktorat perkhidmatan sokongan klinikal. Jabatan ini terdiri daripada dua unit iaitu Unit Dietetik dan Unit Sajian. Fungsi utama Unit Dietetik adalah menyediakan khidmat terapi pemakanan perubatan iaitu konsultasi terapi diet dan sokongan pemakanan enteral kepada pesakit manakala Unit Sajian pula menyedia dan membekalkan sajian makanan kepada pesakit dalam dan anggota Dewan Bedah dan ‘Dr. On Call’ (yang bertugas atas panggilan secara aktif).
Misi
Menyediakan perkhidmatan kepakaran dalam penyediaan makanan dan konsultasi pemakanan kepada pesakit berteraskan budaya kerja berpasukan untuk kepuasan pelanggan
VISI
Mewujudkan perkhidmatan dietetik dan sajian secara optima merangkumi perkhidmatan penyayang, kerja berpasukan secara profesional kepada pelanggan.
Objektif
Memastikan penyampaian perkhidmatan dietetik dan sajian yang berkualiti bagi menyokong proses perawatan pesakit selaras dengan visi dan misi jabatan.
Piagam pelanggan
UNIT SAJIAN
Kami akan sentiasa komited dalam menyediakan perkhidmatan sajian yang berkualiti, cekap, mesra dan profesional kepada semua pelanggan. Bagi mencapai matlamat tersebut kami berjanji:
- Menyediakan sajian makanan yang bersih dan selamat mengikut garis panduan kebersihan dan keselamatan makanan yang telah ditetapkan.
- Menyediakan sajian makanan yang mencukupi mengikut keperluan dan pesanan untuk diambil oleh pelanggan tepat dalam tempoh waktu yang bersesuaian.
- Memastikan sekurang-kurangnya 85% pesakit berpuashati dengan sajian makanan yang dibekalkan.
UNIT DIETETIK
Kami akan sentiasa komited dalam menyediakan perkhidmatan dietetik yang berkualiti, cekap, mesra dan profesional kepada semua pelanggan. Bagi mencapai matlamat tersebut kami berjanji:
- Menjalankan perkhidmatan dietetik kepada pelanggan yang dirujuk oleh Pakar/Pegawai Perubatan berdasarkan keperluan dan kesesuaian mengikut ketetapan seperti di bawah :
- a. Pesakit luar: Perkhidmatan akan diberi di Klinik Diet pada setiap hari bekerja (tidak termasuk cuti umum) mengikut tarikh dan waktu temujanji yang telah ditetapkan.
- b. Pesakit dalam: > 90% pesakit mendapat perkhidmatan dietetik dalam tempoh 24 jam (satu hari bekerja) selepas rujukan diterima.
2. Memastikan penyampaian perkhidmatan yang sentiasa menghormati hak-hak pelanggan serta menjamin kerahsiaan pelanggan.
Jabatan Dietetik dan Sajian diterajui oleh seorang Pegawai Dietetik Gred U14 sebagai Ketua Jabatan. Keanggotaan jabatan ini adalah terdiri daripada pelbagai kategori dan gred jawatan pengurusan dan profesional serta sokongan iaitu Pegawai Dietetik, Pegawai Penyediaan Makanan, Penolong Pegawai Penyediaan Makanan dan Pembantu Penyediaan Makanan.
Perkhidmatan penyediaan makanan di HPSF adalah mematuhi sistem jaminan keselamatan makanan iaitu Good Manufacturing Practice (GMP) dan Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP) MS1914:2019 serta Pensijilan HALAL. Perkhidmatan dijalankan secara ’inhouse’ iaitu segala proses penyediaan dan penghidangan makanan dilakukan oleh anggota petugas hospital sendiri. Pelanggan bagi perkhidmatan penyediaan makanan adalah terdiri daripada pesakit-pesakit dalam wad dan rawatan harian seperti onkologi, hemodialisis, mata dan pediatrik. Selain itu, pegawai perubatan atas panggilan aktif dan petugas dewan bedah juga dibekalkan dengan sajian makanan mengikut kelayakan. Disamping penyediaan makanan, jabatan ini juga membekalkan formula enteral khas dewasa dan bayi kepada pesakit khusus di bawah pemantauan Pegawai Dietetik seperti pesakit yang memerlukan pemakanan melalui tiub, tambahan nutrien dan bayi yang tidak dapat menyusu ibu atas halangan perubatan yang tertentu.
Perkhidmatan dietetik iaitu terapi pemakanan perubatan (medical nutrition therapy) yang merangkumi konsultasi terapi diet dan sokongan pemakanan enteral diberikan oleh Pegawai Dietetik bertauliah dan berdaftar dengan Majlis Profesion Kesihatan Bersekutu Malaysia (MAHPC). Pesakit dalam yang dirujuk oleh pakar/pegawai perubatan daripada pelbagai disiplin perubatan akan menerima perkhidmatan dietetik secara terus di wad dalam tempoh 24 jam daripada masa rujukan diterima. Di samping itu, jabatan ini juga menyediakan perkhidmatan terapi pemakanan perubatan pesakit luar yang dijalankan di Klinik Diet dan Combined Clinic (Nefrologi, Pediatrik, Penjagaan Paliatif, Diabetes Special Clinic). Terdapat juga sesi konsultasi terapi pemakanan perubatan yang dijalankan kepada pesakit secara berkumpulan (seperti DRC Diabetic Map, GDM, Paeds Endocrine Clinic, Paeds Obesity Camp) oleh Pegawai Dietetik mengikut keperluan. Selain itu, Pegawai Dietetik juga aktif dalam menjalankan aktiviti pendidikan diet dan pemakanan seperti program pengurusan berat badan, kelas pendidikan renal, sesi CME (Pendidikan Perubatan Berterusan) serta program-program sambutan tertentu mengikut keperluan.