Category: Article

  • Memperkasakan Anak Anda Yang Bersekolah

    Memperkasakan Anak Anda Yang Bersekolah

    Memperkasakan Anak Anda Yang Bersekolah

    Sewaktu anak-anak anda mula menyesuaikan diri dengan kehidupan di sekolah dan semakin rapat dengan rakan barunya, anda mungkin menyedari perubahan dalam pilihan makanan dan tabiat makannya. Sebagai contoh, mereka mungkin enggan makan, makan terlalu sedikit atau banyak makan makanan ringan yang kurang berkhasiat.

    Mungkin anda tidak menyedarinya, tetapi perubahan ini berpunca daripada lebih kebebasan dan berdikari yang dirasai oleh kanak-kanak yang baru memasuki alam persekolahan. Ramai ibu bapa merasakan bahawa oleh kerana anak-anak mereka sudah cukup ‘besar’ untuk pergi ke sekolah, mereka juga telah cukup matang untuk memilih makanan sendiri. Di sinilah punca permulaan masalah.


    Bermula dari rumah

    Anak-anak yang bersekolah berada dalam peringkat umur yang mudah dipengaruhi. Mereka meluangkan lebih banyak masa bersama rakan di sekolah dan terlibat dalam aktiviti di luar kurikulum. TV dan komputer menjadi teman setia apabila mereka pulang ke rumah. Besar kemungkinan inilah sumber utama yang mempengaruhi mereka, tetapi bukan orang yang paling penting dalam hidup mereka pada masa ini – iaitu anda.

    Namun demikian, anak anda masih menjadikan anda sebagai suri teladan mereka. Gunakan kelebihan ini untuk mengajar mereka di rumah tentang kebaikan dan khasiat pemakanan, tabiat makan yang sihat, dan aktif dalam aktiviti fizikal. Dengan berbuat demikian, anda akan mempengaruhi pilihan makanan mereka apabila mereka berada di luar. Lebih penting lagi, anda juga mempengaruhi pilihan makanan mereka pada masa hadapan.

    Anda boleh memperkasakan anak-anak anda untuk membuat pilihan yang bijak dalam soal makanan dengan:


    1.    Memperkasakan diri anda

    Dapatkan nasihat daripada pakar pemakanan atau doktor keluarga anda bagi memperkasakan diri anda dengan pengetahuan mengenai asas pemakanan yang sihat dan cara terbaik untuk memberi anak anda makan. Anda juga boleh membaca tentang pemakanan yang sihat untuk melengkapkan diri anda dengan maklumat yang betul. Anda akan lebih berkeupayaan untuk mengajar dan memperkasakan anak-anak anda apabila anda sendiri yakin dengan pengetahuan yang diperolehi.


    2.    Menjadi suri teladan

    Oleh kerana anak anda mudah terpengaruh, anda perlu berusaha untuk menjadi contoh yang baik dalam soal pemakanan dan cara hidup yang sihat. Ini termasuk mengamalkan tabiat makan yang baik, gaya hidup aktif dan menjaga kebersihan diri. Sebagai contoh, apabila anda makan sayur, pastikan anda tidak lupa untuk memberitahunya betapa lazat dan sihatnya sayur yang anda makan. Besar kemungkinan anak anda akan mengikut jejak anda dan mula makan sayur!


    3.    Mulakan dari kecil

    Anda perlu mula menyemai tabiat makan yang sihat dalam diri anak anda sejak mereka kecil. Mulakan dengan sesuatu yang mudah, tetapi penting. Sebagai contoh, pastikan dia mengambil sarapan setiap pagi sebelum pergi ke sekolah. Anda juga boleh menyediakan makanan dengan cara yang sihat supaya dia boleh mengamalkan tabiat makan yang sihat sejak kecil. Atau, anda boleh menjelaskan kepadanya tentang pentingnya makanan dan snek. Beritahunya bahawa makanan harian ini akan bermanfaatkan kesihatan dan akan membolehkannya membesar dan menjadi seorang kanak-kanak yang kuat dan pintar. Ini akan meningkatkan kemungkinan anak untuk mengamalkan tabiat makan yang sihat dan membuat pilihan makanan yang bijak bukan sahaja di sekolah, tetapi juga sepanjang hayatnya.


    4.    Jangan putus asa!

    Salah satu cara penting untuk menyemai pengetahuan tentang pemakanan yang baik ialah dengan bersabar. Jangan putus asa jika anak anda masih tidak mahu makan sayuran walaupun sudah 5 kali diminta! Bersabarlah dan terus mencuba lagi. Lama-kelamaan, selepas dipujuk, mereka pasti akan makan sayur yang anda sediakan. Ini pasti merupakan satu kejayaan bagi anda berdua!


    Petua yang praktikal dan menyeronokkan

    Semasa berusaha untuk memperkasakan anak anda untuk membuat pilihan makanan yang betul dan mengamalkan tabiat makan yang sihat, anda boleh menggunakan cara yang menyeronokkan anak (dan anda juga). Pembelajaran tentang pemakanan sihat tidak semestinya membosankan. Batasan yang dihadapi adalah hanya imaginasi anda sendiri. Petua berikut sedikit sebanyak dapat menjadikan pembelajaran tentang pemakanan lebih menyeronokkan!

    • Berbelanja bersama

    Ini adalah peluang baik untuk mendidik anak tentang makanan mentah, seperti sayur-sayuran, supaya dia dapat mengenal bau dan teksturnya. Kanak-kanak bersifat ingin tahu tentang segala-gala yang ada di sekeliling mereka, dan ini lebih memudahkan anda untuk menerangkan kebaikan makanan tertentu. Ajar mereka tentang khasiat kebaikan yang disenaraikan pada bungkusan makanan. Contohnya, anda boleh mengambil sekotak bijirin bijian penuh dan menerangkan tentang kebaikan kepada kesihatan makanan seperti ini..

    • Masak bersama

    Sebagai permulaan, anda boleh menyediakan sarapan bersama anak pada hujung minggu. Peringkat usia sekolah rendah adalah paling sesuai untuk belajar tentang pemakanan yang sihat, kerana mereka sentiasa berminat untuk belajar perkara baru, lebih-lebih lagi mengenai makanan dan pemakanan. Mereka juga berminat dan berupaya untuk membantu anda di dapur dengan melakukan kerja yang mudah seperti membasuh buah-buahan atau memotong sayur-sayuran. Mereka akan lebih berminat untuk merasa makanan yang mereka sendiri sediakan kerana ini memberi peluang kepada mereka untuk memberitahu seisi keluarga mengenainya!

    • Makan bersama

    Galakkan keluarga anda untuk makan bersama setiap hari. Waktu makan adalah masa paling baik untuk mengeratkan hubungan dengan anak anda, bertanya khabar dan berkongsi aktiviti harian. Pastikan suasana pada waktu makan bersama keluarga santai dan menyeronokkan. Anak anda akan lebih berselera makan dalam suasana yang positif.

    • Main bersama

    Bermain dengan anak adalah cara yang baik untuk anda sekeluarga melakukan aktiviti fizikal. Anda boleh membawa mereka ke padang atau taman permainan dan menggunakan kemudahan yang terdapat di sana. Anda juga boleh menggalakkan mereka menyertai permainan berkumpulan seperti badminton. Bersiar-siar bersama keluarga seperti berkelah atau berjoging juga dapat merangsang kecergasan mental dan fizikal!

    • Berkomunikasi bersama

    Sentiasa luangkan masa untuk berbual dan mendengar rintihan atau luahan hati anak anda. Anda boleh bertanya tentang makanan yang dimakan oleh rakan sekelasnya, sama ada dia suka makanan seperti itu atau gemar menyertai sesi pembelajaran fizikal di sekolah. Perbualan tidak semestinya mengenai makanan. Anda boleh berbual tentang banyak perkara lain yang dapat merapatkan hubungan anda dengannya. Ingatlah, komunikasi mesti dua hala… jadi, beri peluang kepada anak untuk bercakap!

    Keputusan untuk mula mendidik anak anda tentang pemakanan yang sihat bermula dengan anda. Ingatlah, anda hanya mempunyai masa yang singkat untuk berbuat demikian kerana anak anda membesar dengan cepat. Anak anda memerlukan pemakanan yang sempurna sekarang. Jadi, mulakan hari ini… beri mereka makanan yang betul, ajar mereka tentang makanan yang baik dan tanamkan rasa cinta terhadap aktiviti fizikal.

    Rencana ini dibawakan kepada anda oleh Jawatankuasa Pemandu Bulan Pemakanan Malaysia (NMM) Kebangsaan.

    Sumber: Laman Web KKM

  • Pemakanan Sihat

    Tips Pemakanan Sihat


    Pemakanan Sihat

    Ramai orang sibuk bekerja 24jam sehari tanpa henti demi mengejar kejayaan dan kekayaan di dunia. Tanpa menghiraukan gaya kehidupan yang seimbang, seseorang itu mungkin akan mengalami pelbagai rintangan kehidupan seperti gangguan emosi, kecelaruan perhubungan diri dan keluarga, serta masalah kesihatan tubuh badan. Hari ini saya akan berkongsi ilmu dengan anda tentang bagaimana menjaga kesihatan tubuh badan melalui pemakanan yang sihat.

    Tahukah anda bahawa salah satu tip gaya kehidupan seorang jutawan adalah mengamalkan pemakanan yang sihat. Para jutawan mengetahui satu rahsia yang jarang diketahui oleh orang ramai iaitu “kesihatan merupakan salah satu kekayaan kepada kehidupan seorang jutawan.”

    Tanpa memiliki kesihatan yang maksima, seseorang itu akan mengalami satu keadaan yang dipanggil “situasi kerugian”.

    Antara situasi kerugian yang akan dihadapi oleh anda ialah:

    Rugi 1 : Dengan tubuh badan yang kurang sihat, anda tidak akan dapat bekerja dengan prestasi yang bagus.

    Rugi 2 : Kadang kala jika anda betul-betul tidak sihat, anda langsung tidak dapat bekerja.

    Rugi 3 : Bila badan tidak sihat, kemampuan minda untuk menghasilkan idea-idea yang bernas akan mula merudum. Minda menjadi letih!

    Rugi 4 : Proses membuat keputusan dalam sesuatu perkara mula menjadi tidak menentu akibat dari keletihan minda. Jika salah membuat keputusan, anda akan menghadapi masalah besar di masa hadapan kelak.

    Rugi 5 : Pengembangan dalam prestasi kerja dan perniagaan terpaksa dihentikan seketika akibat anda tidak sihat. Anda akan rugi.

    Bagaimana? Masih ingin mengabaikan kesihatan tubuh badan? Jangan risau, selagi anda menghargai tubuh badan serta memahami bagaimana untuk membelainya, anda akan OK!

    Pemakanan atau diet seimbang merupakan perkara utama di dalam penjagaan kesihatan tubuh badan anda. Demi mencapai diet seimbang seseorang itu perlu menjaga pengambilan makanan yang berkalori setiap hari.

    Secara purata, kaum lelaki memerlukan dalam lingkungan 2500 kalori sehari, manakala bagi kaum wanita pula dalam lingkungan 2000 kalori sehari. Pengambilan kalori yang berlebihan dalam sehari boleh membawa kepada pertambahan berat badan serta menjejaskan tahap kesihatan badan.

    Nutrien yang mencukupi juga memainkan peranan yang penting di sini. Anda digalakkan untuk memakan makananan dari pelbagai sumber semulajadi yang memberi nutrien berlainan yang diperlukan oleh tubuh badan.

    Bagi mendapat diet yang seimbang, saya akan kongsikan 7 tip-tip mudah yang dapat dipratik serta merta dalam pemilihan makanan anda kelak.

    1. Makanan Berkanji

    Kelebihan makanan berkanji ialah mempunyai serat yang tinggi dan boleh membuat anda berasa kenyang dengan lebih lama. Anda tidak perlu mengambil makanan berkanji dalam jumlah yang banyak, cukup sekadar satu pertiga (1/3) daripada pemakanan harian anda. Makanan berkanji meliputi kentang, bijirin, pasta, nasi dan roti

    2. Makan Sayuran & Buah-buahan

    Makan seberapa banyak yang boleh sayuran dan
    buah-buahan, lagi banyak lagi bagus. Sayuran dan
    buah-buahan mempunyai pelbagai sumber nutrient
    yang diperlukan oleh tubuh badan.

    3. Makan Ikan

    Ikan merupakan sumber protein yang bagus, ia juga mengandungi vitamin serta mineral yang tinggi. Salah satu nutrien yang terkandung di dalam ikan ialah Omega-3, yang dapat membantu mencegah masalah penyakit jantung. Terdapat 3 jenis pilihan dalam pembelian ikan iaitu ikan segar, beku atau tin, tetapi ingat ikan di dalam tin mempunyai garam tinggi dan mungkin terdapat bahan pengawet di dalamnya.

    4. Kurangkan Gula

    Penyakit kencing manis atau obesiti telah menjadi antara penyakit paling popular di negara Malaysia. Gula merupakan salah satu penyebab kuat penyakit kencing manis berleluasa dengan mudah di negara ini. Tubuh badan memerlukan manis gula sebagai penambah tenaga badan tetapi jika gula yang diambil melebihi dari jumlah keperluan badan, ia akan memudaratkan kesihatan anda. Jika inginkan manis, cuba beralih ke penggunaan gula stevia, gula perang atau apa-apa jenis gula yang memberi kesihatan kepada diri kita.

    5. Kurangkan Garam

    Tanpa garam, masakan tidak akan sempurna. Garam digunakan sebagai penambah rasa di dalam makanan. Garam juga penyumbang utama kepada penyakit darah tinggi. Kurangkan penggunaan garam di dalam makanan demi menjaga kesihatan tubuh badan.

    6. Jangan Kehausan

    Kita memerlukan sekurang-kurangnya 1.2 liter air minuman sehari bagi mengelakkan dari dehidrasi (kekeringan) badan. Ketika cuaca panas atau anda aktif bersukan, anda disarankan minum lebih banyak air dari keadaan biasa bagi menampung air yang telah
    dihidrasi dari tubuh badan.

    7. Sarapan Pagi

    Ini merupakan perkara pertama yang anda perlu lakukan setiap hari selepas bangun dari tidur iaitu sarapan pagi. Jika anda perasan, kebanyakkan orang yang tidak bersarapan akan mudah letih berbanding dengan yang bersarapan pagi. Ini kerana, sarapan pagi merupakan sumber tenaga pertama yang akan dihadam oleh tubuh badan. Pastikan sarapan pagi anda dilengkapi dengan diet pemakanan yang sihat. Jangan tinggalkan sarapan pagi!

    Selain dari pemakanan, kecergasan tubuh badan juga dapat dijaga dengan melakukan aktiviti-aktiviti fizikal seperti berlari, berenang, berbasikal, bersukan atau apa-apa sahaja yang boleh mengeluarkan peluh anda. Dengan menjadi aktif, anda akan mempercepatkan lagi proses penghadaman perut dan secara langsung tubuh badan akan menerima nutrient dari apa yang anda makan dengan segera.

    Mudahkan untuk menjadi sihat. Semua bergantung kepada kesedaran diri serta tindakan proaktif yang berani diambil oleh anda. Jom sihatkan badan!

  • Tips Penyimpanan Ubat

    Tips Penyimpanan Ubat

    Tips Penyimpanan Ubat

    Selain cara penggunaan ubat yang selamat, ubat juga perlu disimpan dengan cara yang betul bagi memastikan kualiti, keberkesanan, dan keselamatan ubat terjamin. Antara kepentingan penyimpanan ubat yang betul termasuklah:
    1. Memudahkan mencari ubat jika dalam kecemasan atau boleh juga memudahkan kita ingat untuk mengambil ubat pada waktu yg betul
    2. Penyimpanan ubat pada tempat yang betul juga boleh mengelakkan ubat cepat rosak
    3. Meletakkan ubat jauh daripada kanak-kanak dan di tempat tinggi penting untuk mengelakkan anak kita termakan ubat yang boleh membahayakan
    4. Mengelakkan kekeliruan untuk mengambil ubat apabila ubat diletakkan berselerak dan bercampur aduk
    tips penyimpanan ubat yang selamat

    Tips penyimpanan ubat yang betul termasuklah:

    1. simpan peti ubat di tempat yang selamat dan mudah dicari
    2. asingkan ubat makan (tablet, kapsul, sirup, dan sebagainya) dengan ubat untuk kegunaan luar (ubat sapu, ubat titis mata, dan sebagainya)
    3. jangan campurkan beberapa ubat yang berlainan dalam satu bekas yang sama
    4. jauhkan ubat daripada kanak-kanak. simpan ubat di tempat yang tidak dapat dilihat atau dicapai oleh kanak-kanak
    5. simpan ubat jauh daripada sumber cahaya dan suhu tinggi seperti di tepi tingkap, di atas peti sejuk, atau di dalam kereta.
    6. jangan simpan ubat di dalam peti sejuk kecuali diarahkan berbuat sedemikian
    7. jangan simpan ubat di kawasan yang lembab seperti berdekatan sinki atau di dalam bilik mandi
    8. jangan simpan ubat yang telah tamat tarikh luput, rosak, atau hilang label