Pengenalan
Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan di Hospital Pasir Gudang (HPG) mula beroperasi pada 18 Mei 2026. Bertujuan untuk memberikan bantuan psikososial kepada pesakit dan/ atau waris semasa proses rawatan dan pemulihan. Bantuan psikososial ini melibatkan penilaian biopsikososial yang perlu dijalankan ke atas pesakit dan/ atau waris oleh Pegawai Kerja Sosial Perubatan (PKSP) sebelum intervensi bantuan dilakukan. PKSP bertanggungjawab kepada semua disiplin klinikal di HPG. PKSP membuat jaringan kerjasama dengan pelbagai agensi pemberi bantuan iaitu organisasi kerajaan (GO) dan organisasi bukan kerajaan (NGO) untuk mempelbagaikan sumber bagi membantu pesakit yang memerlukan. Pengurusan kes pesakit adalah mengikut Garis Panduan Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Visi, Misi & Objektif
Visi:
Memastikan keperluan psikososial pesakit, keluarga dan komuniti dipenuhi bagi mencapai kesihatan yang lebih baik
Misi:
Memberi khidmat psikososial yang cemerlang melalui bantuan praktik dan terapi sokongan.
Objektif:
1. Memberi perkhidmatan psikososial kepada pesakit semasa proses pencegahan, rawatan dan pemulihan
2. Membantu memulihkan kefungsian sosial agar pesakit menjadi produktif, berdikari dan dapat kembali kepada komuniti selaras dengan batas keupayaan mereka
3. Meningkatkan keyakinan diri ke arah memperkasakan pesakit melalui khidmat terapi sokongan
Perkhidmatan Kami
Sistem penyampaian Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan berdasarkan rujukan yang diterima dari pakar/ pegawai perubatan di HPG. Pesakit yang menerima perkhidmatan ini, terdiri daripada pesakit dalam (wad) dan pesakit luar (klinik Pakar). Dokumen rujukan perlu dikemukakan secara manual atau elektronik oleh pakar/ pegawai perubatan di HPG ke Jabatan Kerja Sosial Perubatan (JKSP).
PKSP berperanan sebagai liason officer dengan pelbagai agensi pemberi bantuan dalam menguruskan bantuan kepada pesakit. Perkhidmatan ini merangkumi 2 perkidmatan utama iaitu :
a. Pengurusan Bantuan Praktik yang meliputi 3 bantuan:
i. Bantuan Kewangan
Bantuan kewangan meliputi pembiayaan peralatan perubatan, peralatan rehabilitasi, pembiayaan rawatan perubatan ,ubat-ubatan khas dan bantuan am
ii. Penempatan Institusi
Intervensi bantuan penempatan institusi diberikan kepada pesakit terdampar (abandoned) dan kes yang memerlukan perlindungan (protection).
iii. Mengesan Waris
Intervensi bantuan mengesan waris diberikan kepada pesakit yang tidak diketahui status dan maklumat waris atau penjaga bagi membolehkan rawatan serta proses discaj dijalankan
b. Pengurusan BantuanTerapi Sokongan meliputi 3 intervensi:
i. Khidmat Perundingan.
ii. Sokongan Emosi.
iii. Intervensi Krisis
Intervensi bantuan terapi sokongan diberikan kepada kes-kes tertentu khususnya yang melibatkan isu perundangan seperti kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak, penderaan seksual, keganasan rumahtangga, kes ibu tanpa nikah.
Waktu Operasi
Isnin hingga Khamis
7.30 am - 1.00 pm
Rehat
2.00 Pm - 4.30 pm
Jumaat
7.30 am - 12.15 pm
Rehat
2.45 pm - 4.30 pm
*Ditutup pada hari minggu Sabtu, Ahad dan
hari kelepasan am.
Piagam Pelanggan
1.Setiap pelanggan akan mendapat perkhidmatan tanpa mengira kaum, agama, umur, jantina dan taraf sosioekonomi
2.Segala maklumat pelanggan yang diperolehi akan dirahsiakan dan hanya boleh diberitahu kepada pihak tertentu mengikut keperluan kes
3.Segala pengurusan permohonan bantuan praktik dan terapi sokongan adalah tertakluk kepada syarat dan peraturan agensi yang berkaitan, sumber sedia ada dan kelayakan pemohon
