Page 5 - LAPORAN TAHUNAN HOSPITAL SULTANAH AMINAH 2022
P. 5
PERUTUSAN PENGARAH
Salam Sejahtera,
Salam Maju Johor,
Salam HSA Dihatiku!
Terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Sidang Pengarang khasnya dan semua anggota Hospital
Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) amnya yang terus mendepani cabaran dalam menerbitkan buku Laporan
Tahunan HSAJB Tahun 2022. Syabas dan tahniah atas usaha semua pihak yang saling membantu dalam penerbitan
kali ini, yang merupakan terbitan ketiga sejak tahun 2020.
Syukur alhamdulillah ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia dan keizinanNya buku Laporan Tahunan HSAJB
Tahun 2022 dapat direalisasikan mengikut era pendigitalan dengan jayanya. Walaupun dalam kekangan tugas hakiki,
Yang Berhormat Menteri Kesihatan sentiasa mengingatkan agar imej dan kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan
awam sentiasa dapat dimantapkan ke arah memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara. Pembaharuan
ke arah mensejahterakan perkhidmatan awam dan rakyat amnya amat perlu dilaksanakan dalam sektor awam demi
menambah baik kualiti perkhidmatan penyampaian. Oleh itu, semua anggota HSAJB perlu bersedia menerima
pembaharuan, bersatu padu dan saling bekerjasama dalam memberi perkhidmatan yang terbaik tanpa mengira skim
dan gred perkhidmatan kerana peranan pemimpin dan pengikut adalah saling melengkapi bagi mencapai misi dan visi
organisasi.
Bagi tahun 2023, saya berharap agar warga HSAJB terus mengorak langkah penuh berkeyakinan bagi memainkan
peranan sebagai Hospital Negeri dan Hospital Kluster Johor Selatan yang mantap. Selain itu, saya turut berharap agar
kerjasama strategik dengan Hospital seluruh negeri Johor, pihak swasta dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dapat
dijalankan demi memastikan peralihan fasa decanting sepanjang pelaksanaan Projek Naik Taraf Bekalan Utama
Elektrik, Sistem Elektrikal dan Mekanikal di HSAJB secara berfasa mulai tahun 2022. Dalam merangka perancangan
tahun 2022, saya berharap HSAJB turut memberi fokus untuk menambah baik perkhidmatan yang diberikan selaras
dengan kehendak pelanggan, pesakit dan pihak berkepentingan (stakeholders).
Diharapkan melalui penerbitan buku Laporan Tahunan ini akan memberi nilai tambah terhadap operasi HSAJB
khususnya sebagai salah satu fasiliti kesihatan di negeri Johor. Akhir kata, tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan
kepada semua pihak yang telah berjaya menerbitkan buku Laporan Tahunan HSAJB Tahun 2022. Marilah kita berdoa
ke hadrat Ilahi agar terus diberikan kekuatan untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya.
Sekian, terima kasih.
Dr . Hj . Mohtar bin Pungut @ Hj Ahmad
Pengarah
Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru
1

