1916 – Sebuah hospital sakit jiwa telah dibina di Batu 3, Jalan Skudai, Johor Bahru. Hospital ini telah dinamakan dengan nama Mental Assylum, namun hospital ini lebih dikenali sebagai Hospital Gila Batu 3. Sebelum hospital ini dibina, pesakit jiwa mendapat rawatan di Hospital Woodbridge, Singapura. Tujuan utama hospital ini dibina adalah untuk mengasingkan orang yang mengalami masalah mental daripada masyarakat. Pada ketika itu belum ada rawatan menggunakan ubatan kimia atau rawatan kejutan elektrik (electro-convulsive theraphy atau ECT). Kepercayaan bahawa sakit mental disebabkan oleh rasukkan hantu syaitan menjadi pegangan masyarakat pada masa itu. Untuk mengendalikan pesakit ini, mereka selalunya dikurung atau dipasung (restrained). Dengan adanya assylum, pesakit-pesakit ini ditempatkan disitu supaya tidak mengganggu orang ramai. Kini, tapak hospital ini telah dimajukan oleh pihak Kerajaan Negeri untuk tujuan pembangunan.
1929 – Hospital ini telah ditukar namanya kepada Lunatic Assylum.
1936 – Duli Yang Maha Mulia Al-Marhum Sultan Ibrahim telah berkenan untuk memindahkan Hospital Gila Batu 3 ke tempat yang lebih sesuai. Baginda telah memerintahkan PMO pada masa itu, Dr. G.H. Garlick untuk mencari tempat baru. Dr. Garlick dengan bantuan isteri beliau telah menemui satu kawasan hutan berbukit dan berlurah. Setelah diperkenankan oleh Sultan, maka pada tahun 1936 kerja-kerja pembinaan telah dimulakan oleh Syarikat Dobb dari England. Seorang jurukur, Encik Madhu Singh telah ditugaskan untuk membuat jalan masuk sebelum kerja pembinaan dimulakan.
1937– Hospital tersebut telah siap dibina dengan perbelanjaan Rm1,618,100.00. Ia telah dibuka dengan rasminya pada 30 Oktober 1937. Luas kawasan hospital ialah 635 ekar tetapi kawasan yang digunakan cuma 110 ekar sahaja. Hospital ini terletak kira-kira 16 km dari Bandar Johor Bahru. Hospital ini dinamakan Johor Mental Hospital. Ia adalah salah sebuah hospital sakit jiwa yang termoden ketika itu. Dalam akhbar Malay Tribune keluaran 1937 menyatakan bahawa hospital ini adalah yang kedua terbaik selain dari yang ada di Australia ketika itu.
1941 – Singapura telah di bom pada 8 Disember 1941 jam 4.00 pagi oleh tentera Jepun. Dari hospital ini jelas kedengaran bunyi tembakan serta letupan. Tentera Australia dan semua kakitangan yang ada berpindah ke Singapura seminggu sebelum tentera Jepun memasuki Johor Bahru. Semasa Pendudukkan Jepun, Hospital Permai masih lagi memberikan khdmatnya, bukan sahaja sebagai tempat perawatan dan pemulihan, tetapi juga sebagai tempat penduduk sekitar berlindung dari menjadi mangsa pengeboman Jepun dan perang yang berleluasa. Kedatangan Jepun ke sini telah membawa satu tragedi yang sukar dilupai oleh warga Permai apabila Dr. Perinbam dan Dr. S.D. Luther dibunuh dengan kejamnya di hadapan kakitangan hospital.
1945 – Tentera British kembali berkuasa. Mereka mengambil alih hospital ini dan dijadikan markah Jungle Squad. Pada masa itu atendan-atendan tidak lagi bekerja di hospital. Kebanyakkan daripada mereka bekerja di Hospital Besar ( Hospital Sultanah Aminah) dan selebihnya mencari pekerjaan lain.
1951 – Proses pengambilan semula pekerja untuk bekerja semula di Mental Hospital telah dilaksanakan. Seramai 42 orang, kebanyakkanya bekas Atendan Hospital ini mula menjalankan kerja menebang dan membersihkan kawasan hospital.
1952 – Mental Hospital telah beroperasi semula. Dr. Ratnasamy, diikuti oleh Dr. David Lennox yang menjadi Penguasa Perubatan ketika itu. Dr. David Lennox adalah Pakar Perubatan Jiwa yang pertama di hospital ini. Beliau banyak membawa perubahan dalam aspek perawatan sakit jiwa.
1972 – Y.B. Tun Sardon B Hj Jubir, Menteri Kesihatan Malaysia ketika itu telah dengan rasminya menamakan hospital ini dengan nama “Hospital Permai”. Melalui perjalanan masa, Hospital Permai bergerak meluncur merentasi zaman . Permai menggembeleng tenaga untuk membuat perancangan masa depan. Program mengintegrasikan dan menggembeleng perkhidmatan psikiatri ke daerah-daerah dan Pusat-Pusat Kesihatan telah menjadi kenyataan. Dengan ini bermakna terjadi penyepaduan kesihatan Mental ke dalam program penjagaan kesihatan primer.