Perkhidmatan Sokongan Klinikal
Farmasi

Jabatan Farmasi merupakan Jabatan Sokongan Klinikal di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat. Jabatan Farmasi menyediakan enam (6) perkhidmatan utama iaitu Farmasi Ambulatori, Farmasi Pesakit Dalam, Farmasi Pengeluaran Farmaseutikal, Farmasi Maklumat Ubat, Farmasi Logistik dan Farmasi Klinikal.
Unit Farmasi Ambulatori menawarkan perkhidmatan pendispensan ubat kepada pesakit luar dari klinik-klinik pakar dan kecemasan dan juga pesakit discaj dari wad serta memberikan khidmat kaunseling ubat-ubatan kepada pesakit luar. Selain itu, perkhidmatan Medication Therapy Adherence Clinic (MTAC) turut disediakan seperti MTAC Diabetes Mellitus, MTAC Warfarin dan MTAC Respiratory untuk pesakit dewasa dan kanak-kanak.
Unit Farmasi Ambulatori juga menawarkan perkhidmatan Home Medication Review (HMR). Sementara itu, Perkhidmatan Nilai Tambah (VAS) juga ditawarkan bagi memudahkan pesakit mendapatkan bekalan ubat susulan melalui Sistem Pembekalan Ubat Bersepadu (SPUB), Ubat Melalui Pos
(UMP), Farmasi Pandu Lalu (DT), Sistem Temujanji Letak & Ambil (L&A), aplikasi MyUbat & Locker4U.
Unit Farmasi Pesakit Dalam menjalankan aktiviti pembekalan ubat secara Unit Dose System (UDS) dan Floor Stock kepada semua wad dan unit, menjalankan aktiviti pendispensan ubat kepada pesakit secara bedside dispensing dan menjalankan perkhidmatan kaunseling ubat-ubatan kepada pesakit dalam. Program Patients Own Medication (POMS) turut ditawarkan kepada pesakit. Manakala bagi memastikan penyimpanan yang betul di wad dan unit, pemeriksaan wad secara berkala turut dijalankan.
Unit Farmasi Pengeluaran Farmaseutikal menjalankan aktiviti penyediaan Farmaseutikal Bukan Steril & Steril serta rekonstitusi dan pendispensan ubat sitotoksik dan sediaan nutrisi parenteral kepada pesakit di wad. Unit ini turut membekalkan sediaan eksternal, internal dan steril ke wad-wad atau unit-unit dan Klinik Kesihatan di Daerah Batu Pahat.
Unit Farmasi Maklumat Ubat bertanggungjawab menjawab pertanyaan maklumat ubat dari anggota KKM dan orang awam. Unit ini juga memproses permohonan ubat bagi kelulusan Ketua Pengarah Kesihatan (KPK) dan ubat bukan standard yang diterima dan mengemaskini dan menyelenggara Formulari ubat-ubatan HSNI dari masa ke semasa. Selain itu, unit ini juga memproses laporan kesan advers dan alahan yang diterima daripada pelapor.
Unit Farmasi Logistik menjalankan aktiviti perolehan, penerimaan, penyimpanan dan pembekalan ubat-ubatan, alat perubatan, bekalan vaksin dan gas perubatan bagi memastikan kesinambungan rawatan pesakit dalam dan pesakit luar hospital ini.
Aktiviti klinikal seperti mengenalpasti Pharmacetical Care Issues (PCI) di wad dan Therapeutic Drug Monitoring (TDM) untuk ubat-ubatan tertentu juga ditawarkan untuk mencapai penjagaan farmaseutikal yang menyeluruh.
Dietetik & Sajian
Unit ini merupakan salah satu jabatan di bawah perkhidmatan sokongan klinikal. Secara amnya ia terlibat dalam pengurusan pemakanan pesakit dan terbahagi kepada Seksyen Dietetik dan Seksyen Sajian Makanan. Bilangan perjawatan di unit ini adalah seperti berikut :
● 4 Perjawatan Pegawai Dietetik
● 3 Perjawatan Penolong Pegawai Penyediaan Makanan
● 17 Perjawatan Pembantu Penyediaan Makanan
Seksyen Dietetik
Seksyen Dietetik memberikan perkhidmatan dietetik kepada pelanggan yang dirujuk oleh pengamal perubatan berdasarkan langkah-langkah dalam proses penjagaan pemakanan (nutrition care process) yang merangkumi penilaian, diagnosis, intervensi serta pemantauan dan penilaian semula pemakanan termasuk dokumentasi. Perkhidmatan ini diberikan kepada pelanggan secara individu atau berkumpulan meliputi perkhidmatan-perkhidmatan berikut:
● Perkhidmatan Konsultasi Diet (mengikut diagnosis atau masalah semasa).
● Perkhidmatan Sokongan Pemakanan (Nutrition Support).
● Pendidikan Pemakanan.
● Memberi dan mengendalikan ceramah, latihan, pendidikan berterusan dan khidmat pakar rujuk dalam bidang dietetik mengikut permintaan dan keperluan.
Seksyen Sajian Makanan
Seksyen Sajian Makanan bertanggungjawab dalam penyediaan makanan kepada pesakit di dalam wad, pesakit di unit rawatan harian, dan kepada anggota perubatan yang layak seperti di Unit Pembedahan dan Doktor Atas Panggilan. Sebanyak 4 hidangan makanan disediakan kepada pesakit setiap hari iaitu sarapan, makan tengah hari, minum petang dan makan malam. Diet yang disediakan meliputi diet normal, diet modifikasi konsistensi dan diet terapeutik.
Psikologi & Kaunseling
Kaunseling merupakan satu proses perhubungan menolong yang berstruktur dan sistematik yang dikendalikan oleh Pegawai Psikologi (Kaunseling) yang dilantik, terlatih dan mempunyai Lesen Kaunselor Berdaftar / Perakuan Amalan dari Lembaga Kaunselor Malaysia melalui pendekatan psikologi kepada klien.
Pegawai Psikologi (Kaunseling) mempermudahkan, membimbing dan memberi sokongan serta dorongan kepada klien ke arah celik akal supaya klien boleh membuat keputusan sendiri dalam menyelesaikan masalah atau kerumitan yang dihadapi.
Perkhidmatan Psikologi Kaunseling di Hospital Sultanah Nora Ismail Batu Pahat bermula pada bulan April tahun 2014. Pada masa sekarang, Unit Psikologi Kaunseling beroperasi di Bilik 16, dalam Klinik Pakar 1. Unit ini berfungsi dalam menyediakan perkhidmatan kaunseling dan intervensi psikologi kepada para pesakit (orang awam) dan juga kepada anggota hospital yang dirujuk daripada semua disiplin di Hospital Sultanah Nora Ismail Batu Pahat serta Klinik Kesihatan di Daerah Batu Pahat bagi kes-kes tertentu. Perkhidmatan yang dijalankan adalah :
1. Kaunseling Individu
2. Kaunseling Kelompok
3. Kaunseling Perkahwinan
4. Ujian Pengukuran Psikologi
5. Program Pembangunan Modal Insan / Pembangunan Kendiri
Terapi Carakerja (UTC)
Unit Terapi Carakerja mula beroperasi pada tahun 2001 dan kini telah berkembang dengan kekuatan sumber manusia seramai 1 orang Pegawai Pemulihan Perubatan Carakerja, 11 orang Jurupulih Perubatan Carakerja dan 1 orang Pembantu Perawatan Kesihatan. Unit ini menawarkan perkhidmatan pemulihan carakerja bagi pesakit dalam dan luar daripada pelbagai disiplin. Perkhidmatan khusus juga turut mula ditawarkan iaitu Sokongan Pekerjaan di MENTARI dan Pemulihan Carakerja Geriatrik.
Kerjasosial Perubatan
Unit Kerja Sosial Perubatan HSNI mempunyai 4 orang staff. Diketuai oleh Pegawai Kerja Sosial Perubatan (PKSP) Gred S 44 dan dibantu oleh seorang PKSP Gred S41, Penolong PKSP Gred S29 dan Pembantu Tadbir gred N 22 yang menjalankan kerja-kerja pengkeranian.
Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan bertujuan untuk membantu pesakit dalam dan pesakit luar di hospital, institusi dan klinik kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia. Perkhidmatan ini merangkumi Pengurusan Bantuan praktik yang meliputi kewangan (peralatan, ubatan, rawatan dan am) dan Pengurusan Bantuan Terapi Sokongan yang meliputi khidmat perundingan, sokongan dan intervensi krisis.
Audiologi
Perkhidmatan Audiologi di Hospital Sultanah Nora Ismai, Batu Pahat telah bermula sejak 2007. Perkhidmatan ini pada mulanya dikendalikan oleh seorang Pegawai Pemulihan Perubatan (Pendengaran) U41 dan kini ia dianggotai oleh 2 orang Pegawai Pemulihan Perubatan (Pendengaran) U44, 2 orang Pegawai Pemulihan Perubatan (Pendengaran) U41 dan dibantu oleh 1 orang Pembantu Perawatan Kesihatan U11.
A. Antara perkhidmatan yang ditawarkan di unit Audiologi, adalah meliputi :
Klinik | Penilaian / Rawatan |
|---|---|
Klinik Audiologi Dewasa | Penilaian Pendengaran |
Klinik Audiologi Peadiatrik | Penilaian Pendengaran |
Klinik Amplifikasi | Percubaan dan Pemilihan Alat Bantu Pendengaran Verifikasi dan Validasi Alat Bantu Pendengaran |
Klinik Elektrofisiologi | Penilaian Pendengaran Penilaian neuroaudiologi/site of lesion |
Klinik Tinnitus | Penilaian Tinnitus Pengurusan Tinnitus |
Terapi Pertuturan
Unit Terapi Pertuturan, Jabatan Otorinolaringologi (ORL) merupakan salah satu unit di bawah perkhidmatan sokongan klinikal. Unit ini memulakan operasi di Klinik Pakar 2 pada akhir tahun 2007 dengan seorang pegawai. Pada Februari 2008, unit ini beroperasi di klinik sendiri yang terletak di kompleks Unit Terapi Carakerja sebelum berpindah ke Klinik Pakar 6 pada tahun 2014. Sejak November 2021, unit ini beroperasi dengan kekuatan tiga (3) orang pegawai.
Unit ini secara umumnya menawarkan perkhidmatan pemulihan pertuturan-bahasa dan penelanan kepada pesakit luar, pesakit dalam dan komuniti untuk individu yang mengalami kecelaruan pertuturan, bahasa, suara, komunikasi, penelanan dan feeding. Khidmat ini merangkumi saringan, penilaian dan diagnosis, intervensi, konsultasi / kaunseling, pencegahan dan pendidikan, dokumentasi, kolaborasi dan rujukan kepada profesional lain untuk kes-kes seperti berikut:
- Pesakit pediatrik dengan kecelaruan bahasa
- Pesakit pediatrik dengan kecelaruan bunyi pertuturan
- Pesakit dengan masalah afasia dan komunikasi kognitif
- Pesakit dengan kecelaruan motor pertuturan
- Pesakit dengan kecelaruan penelanan dan feeding
- Pesakit dengan kecelaruan suara
- Pesakit dengan kecelaruan resonan
- Pesakit bermasalah pertuturan tanpa larinks
- Pesakit dengan masalah kegagapan
- Pesakit bermasalah pendengaran dengan kecelaruan pertuturan, bahasa dan komunikasi
Optometri
Unit Optometri terletak bersama Jabatan Oftalmologi Hospital Sultanah Nora Ismail yang merupakan pusat rujukan untuk penyakit mata bagi daerah Batu Pahat. Ia menyediakan perkhidmatan Optometri yang menyeluruh merangkumi pengesanan, perawatan dan pemulihan. Selain perkhidmatan klinikal, Unit Optometri juga mengadakan kursus diperingkat hospital, jabatan dan juga program bersama masyarakat setempat.
Unit Optometri terdiri daripada 6 orang pegawai optometri dan perkhidmatan ini di sokong bersama dengan anggota di Jabatan Oftalmologi Hospital Sultanah Nora Ismail.
Kawalan Infeksi
Unit Kawalan Infeksi telah beroperasi selama 19 tahun di Jabatan Patologi, Blok B, Hospital Sultanah Nora Ismail. Lokasi kami di dalam Pejabat Pengurusan Patologi.
Di awal penubuhan (1998) Unit Kawalan Infeksi hanya menjalankan tugas lawatan ke wadwad dan unit-unit, Pendidikan Kesihatan dan pengumpulan data-data asas sahaja. Kini, penglibatan kami merangkumi semua segi aspek seperti Penyelidikan Peringkat Hospital,
Negeri dan KKM.
Kami memberi Pendidikan Kesihatan Peringkat Jabatan dan Hospital di mana melibatkan semua kategori (Profesional, Sokongan 1 dan Sokongan 2) dan mengumpul data-data ‘HCAI’ dan ‘Alert Organism Report’. Kami membuat audit ‘Hand Hygiene’ di mana laporan dan data ‘Hand Hygiene’ dihantar ke Pengarah setiap bulan dan ke KKM setiap 3 bulan.
Kejururawatan
Unit Kejururawatan adalah salah satu unit yang terletak di bawah perkhidmatan sokongan klinikal hospital dan diketuai oleh Ketua Penyelia Jururawat Hospital Gred U42, Puan Rusnah Binti Adenan. Unit ini bertanggungjawab dalam memberikan perawatan kesihatan kepada pesakit dalam dan juga pesakit luar yang datang ke HSNI. Profesyen kejururawatan juga menyumbang kepada kesihatan dan kesejahteraan masyarakat melalui perlindungan, promosi dan pemulihan kesihatan.
Penyeliaan Hospital
Unit Penyeliaan Penolong Pegawai Perubatan merupakan salah satu komponen di bawah Pengurusan Hospital, Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat. Unit ini berperanan dalam pengurusan sumber dan penyeliaan klinikal untuk memastikan kualiti perkhidmatan yang cemerlang, cekap dan selamat diberikan kepada pesakit-pesakit oleh anggota di bawah jagaannya iaitu Penolong Pegawai Perubatan dan Pembantu Perawatan Kesihatan.
Unit ini diketuai oleh seorang Penolong Pegawai Perubatan U42 yang bertindak sebagai Ketua Penolong Pegawai Perubatan Hospital (KPPPH) dan dibantu oleh Penolong Pegawai Perubatan Gred U36 serta Pembantu Perawatan Kesihatan Gred U14. Penolong Pegawai Perubatan Gred U36 akan menyelia kawasan/ jabatan/ unit/ wad yang ditentukan dan melapor kepada KPPPH. Seterusnya KPPPH akan melapor kepada Pengarah dan Ketua Penolong Pegawai Perubatan Negeri (KPPPN) berkaitan dengan bidang perkhidmatan di bawah jagaannya.
