Intoksikasi / Mabuk
Dalam fasa intoksikasi, ATS bertindak ke atas sistem saraf otak dengan meningkatkan bahan neurokimia terutamanya dopamine, adrenaline dan noradrenaline menyebabkan penggunanya bertenaga, berkeyakinan tinggi dan merangsang perasaan kegembiraan. Ia juga mengakibatkan peningkatan kadar aktiviti dan tingkahlaku pengguna seperti mbercakap lebih banyak, mudah marah, agresif, tidak boleh duduk diam serta gangguan psikomotor. Pengguna juga boleh mengalami gejala masalah emosi dan psikosis.
Secara fisiologi pula, dadah ATS menyebabkan peningkatan kadar denyutan jantung, tekanan darah, suhu badan, menggigil, kekejangan badan, berpeluh serta masalah neurologi seperti kekeliruan, kurang daya kawalan, sawan atau koma.
Kesan intoksikasi ATS boleh dialami sehingga hampir 48 jam dan pengguna akan mengalami fasa penarikan selepas itu.
Penarikan / Withdrawal
Gejala penarikan ATS boleh berlaku selepas beberapa jam setelah pengambilan ATS. Kesan penarikan boleh berlaku sehingga seminggu atau lebih. Semasa penarikan, pengguna akan berasa kepenatan yang amat, tidur yang banyak, masalah emosi seperti mudah marah atau murung, kegelisahan, mengidam / gian (craving) untuk mengambil ATS, psikosis dan kepalaparan.
Kesan Jangkamasa Panjang
Dalam penggunaan jangkamasa panjang, ATS boleh mengakibatkan masalah mengidam, kegelisahan dan kecelaruan emosi. ATS juga menyebabkan masalah tidur, kerosakan organ seperti jantung, respiratori dan neurologi dan gaya hidup yang tidak sihat.
Terlebih Dos
Oleh kerana pembuatan ATS yang kerap dilakukan di tempat-tempat yang tiada regulasi, jumlah penggunaan dos tidak dapat ditimbang. Masalah terlebih dos boleh berlaku dalam penggambilan yang berlebihan. Penggunaan ATS yang berlebihan boleh menyebabkan kekejangan otot yang teruk, sawan, serangan jantung, koma serta maut.