MAJLIS PERSARAAN JABATAN KESIHATAN NEGERI JOHOR TAHUN 2023
Jabatan Kesihatan Negeri Johor telah mengadakan Majlis Persaraan bagi tahun 2023 pada 22 Oktober 2023 bertempat di Ballroom 1, Aras 23 Hotel New York, Johor Bahru. Majlis yang bermula jam 2.30 petang itu turut dihadiri oleh semua Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Pengarah Hospital, Pegawai Kesihatan Daerah, Pegawai Kesihatan Pergigian serta semua pesara yang diraikan yang bersara pada tahun 2023. Majlis persaraan ini dirasmikan oleh Pengarah Kesihatan Negeri Johor, iaitu YBrs. Dr. Haji Mohtar bin Pungut @ Haji Ahmad.
Majlis Persaraan ini adalah acara tahunan yang diadakan bagi memberikan penghargaan dan terima kasih kepada pegawai dan anggota warga Jabatan Kesihatan Negeri Johor yang bersara dan yang akan menamatkan perkhidmatan mereka dengan kerajaan pada tahun 2023. Majlis ini turut diadakan sebagai tanda sanjungan budi yang tidak terhingga oleh jabatan atas khidmat bakti yang dicurahkan sepanjang menganggotai Jabatan Kesihatan Negeri Johor.
Majlis dimulakan dengan ucapan wakil pesara iaitu YBhg Dato Dr. Aman Bin Rabu mantan Pengarah Kesihatan Negeri Johor dan Encik Mohd Zainal Abidin Bin Husin Juruteknologi Makmal Perubatan U38 Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru. Sebagai tanda penghargaan kepada pesara dan juga bakal pesara, Jabatan Kesihatan Negeri Johor telah menyampaikan sijil penghargaan dalam majlis tersebut. Majlis tersebut telah diakhiri dengan jamuan minum petang dengan diiringi oleh persembahan kumpulan muzik daripada Hospital Permai.
