
Imunisasi adalah proses pembentukan imuniti di dalam badan individu selepas disuntik dengan vaksin.
- Fungsi: Melindungi tubuh daripada jangkitan virus atau bakteria berbahaya seperti polio, campak, dan difteria. Imunisasi melindungi komuniti apabila sebahagian besar daripada mereka telah menerima vaksin.
- Peranan Imunisasi: Bakteria atau virus akan sukar untuk merebak dalam komuniti tersebut.
- Cara Pemberian: Diberikan melalui suntikan pada otot, bawah kulit, atau secara manual melalui mulut.
- Kesan Sampingan: Biasanya ringan, seperti demam atau bengkak kecil di tempat suntikan, dan cepat hilang
Imuniti kelompok atau “herd immunity” tercapai apabila sebahagian besar komuniti dilindungi daripada jangkitan penyakit cegahan vaksin melalui liputan imunisasi yang tinggi. Oleh itu, pastikan anda dan keluarga mendapatkan imunisasi yang lengkap demi kesejahteraan bersama.

Pemberian vaksin sentiasa menjadi keutamaan dalam sistem kesihatan negara bagi melindungi masyarakat. Namun, adakah imunisasi benar-benar selamat dan dibenarkan dalam agama?
Keselamatan Imunisasi Sentiasa Dipantau
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa memastikan tahap keselamatan imunisasi dipantau secara berterusan. Ibu bapa tidak perlu bimbang kerana secara umumnya, majoriti individu hanya mengalami kesan sampingan yang ringan. Kesan sampingan yang serius adalah sangat jarang berlaku.
Walau bagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga, sekiranya terdapat sebarang tanda kesan sampingan pada anak anda selepas penerimaan vaksin, sila bawa mereka ke klinik atau hospital berhampiran dengan segera untuk pemeriksaan lanjut.
Hukum Fatwa Mengenai Imunisasi
Dari sudut pandangan agama Islam, Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan bahawa hukum imunisasi adalah HARUS. Keputusan ini dibuat berdasarkan pandangan syarak yang melihat imunisasi sebagai satu jalan pencegahan penyakit yang berkesan.
Perkara ini turut disokong kuat oleh Kaedah Fiqhiyyah yang menetapkan bahawa: “Menolak kerosakan adalah didahulukan daripada mencari kemaslahatan”. Dalam konteks kesihatan, ini bermaksud usaha mencegah penyakit bawaan virus dan bakteria (menolak kerosakan/kemudaratan) adalah lebih diutamakan demi memelihara nyawa dan kesihatan komuniti.
Oleh itu, masyarakat disaran untuk tidak ragu-ragu dalam mendapatkan perlindungan imunisasi yang lengkap.
