Measles atau lebih dikenali sebagai demam campak merupakan satu penyakit berjangkit yang boleh menjangkiti semua peringkat umur. Namun begitu, ibu bapa perlu lebih berwaspada kerana kanak-kanak yang berumur kurang daripada lima (5) tahun adalah lebih cenderung untuk mendapat komplikasi jangkitan measles yang teruk.

Gejala Penyakit Measles:
Sila bawa anak anda ke fasiliti kesihatan berhampiran dengan segera sekiranya mereka menunjukkan gejala-gejala awal ini:

  • Demam yang tinggi
  • Timbul ruam pada permukaan kulit
  • Mengalami batuk
  • Selesema
  • Mata merah berair

 

Faktor Risiko Jangkitan:
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan seseorang itu lebih mudah terdedah kepada jangkitan measles. Faktor risiko tersebut adalah:

  • Tidak mengambil imunisasi

  • Terdedah dengan orang yang dijangkiti

  • Mempunyai imuniti yang lemah

  • Mengalami malnutrisi (kurang zat makanan)

  • Mempunyai sejarah perjalanan atau pernah berada di kawasan wabak

Komplikasi Yang Membawa Maut:
Penyakit demam campak sama sekali tidak boleh dipandang remeh kerana ia boleh mengundang pelbagai komplikasi kesihatan yang sangat serius. Antara komplikasi berbahaya termasuklah radang paru-paru (pneumonia) dan radang otak (encephalitis).

Selain itu, ia boleh menyebabkan jangkitan mata merah, bengkak, lelehan berair atau nanah yang boleh menyebabkan buta. Pesakit juga berisiko mendapat jangkitan telinga yang boleh menyebabkan pekak, diserang sawan, malahan komplikasi paling teruk adalah kematian.

Pastikan anak-anak anda mendapat suntikan imunisasi mengikut jadual bagi mengelakkan tragedi yang berpunca daripada penyakit demam campak ini.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *