
Ramai ibu bapa beranggapan bahawa bayi atau kanak-kanak yang kelihatan sihat tidak memerlukan vaksin. Namun, tiada jaminan bahawa anak yang sihat akan sentiasa bebas daripada penyakit cegahan vaksin.

Sistem Imuniti Kanak-Kanak Belum Matang:
Sistem imuniti kanak-kanak masih belum matang sepenuhnya, menjadikan mereka sangat mudah terdedah kepada penyakit yang memudaratkan dan boleh mengancam nyawa. Di sinilah imunisasi memainkan peranan penting. Pemberian vaksin memberi perlindungan yang sama seperti imuniti semula jadi, tetapi kelebihannya ialah kanak-kanak tidak perlu menderita atau menanggung kesakitan penyakit tersebut untuk mendapatkan imuniti.
Melalui Program Imunisasi Kebangsaan, terdapat 13 jenis penyakit berbahaya yang boleh dicegah, antaranya termasuklah demam campak, poliomyelitis (polio), dan difteria.

Impak Besar Program Imunisasi Kebangsaan:
Pemberian vaksin secara menyeluruh bukan sahaja melindungi individu, malah membawa impak yang sangat besar kepada sistem kesihatan negara, antaranya:
-
Menurunkan risiko jangkitan penyakit cegahan vaksin secara drastik.
-
Mengurangkan komplikasi penyakit yang boleh membawa maut.
-
Menurunkan kadar kematian bayi dan kanak-kanak.
-
Meningkatkan status kesihatan generasi masa hadapan secara keseluruhan.
Vaksin bukan sahaja menguatkan sistem imuniti anak anda, tetapi juga melindungi ahli keluarga dan masyarakat sekeliling. Sentiasalah ingat, Imunisasi Adalah Tanggungjawab Kita Bersama!
