
Keadaan cuaca yang berjerebu boleh mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan awam, terutamanya kepada golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas, dan mereka yang mempunyai penyakit asma atau masalah pernafasan.
Bagi melindungi diri dan ahli keluarga, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan agar orang awam sentiasa beringat dan mengamalkan 5 Langkah A-B-C-D-E semasa musim jerebu:
-
A – AMAL Langkah Perlindungan Diri: Gunakan pelitup muka (mask) yang sesuai sekiranya terpaksa berada di luar. Pastikan anda minum air kosong secukupnya untuk kekal hidrasi dan sentiasa menjaga kebersihan diri pada tahap optimum.
-
B – BERWASPADA Dengan Tahap Kesihatan Diri: Peka dengan perubahan tubuh badan anda. Dapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan sekiranya anda mula mengalami batuk, sesak nafas, sakit dada, mata pedih, atau sakit tekak.
-
C – CAKNA Kualiti Udara: Rajin-rajinlah menyemak bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan anda sebelum keluar bangunan. Ikuti nasihat kesihatan terkini yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
-
D – DIDIK Diri, Keluarga dan Komuniti: Jadilah warganet yang bertanggungjawab dengan hanya berkongsi maklumat yang sahih dan betul tentang situasi jerebu. Jadikan panduan: “Tidak pasti, jangan kongsi”.
-
E – ELAK Pendedahan Kepada Jerebu: Kurangkan atau elakkan terus aktiviti fizikal di luar rumah apabila tahap kualiti udara dilaporkan pada paras tidak sihat mengikut bacaan IPU.
Bersama-samalah kita mengambil langkah proaktif bagi menjamin kesihatan diri, keluarga dan komuniti.
