Pengenalan Jabatan ini telah ditubuhkan seawal tahun 1970-an untuk melengkapi institusi kesihatan yang kian berkembang pada masa itu. Ia adalah salah satu cawangan daripada Institut Perubatan Forensik Negara dan merupakan pusat rujukan bagi hospital di negeri Johor. Jabatan ini bertempat di bangunan Kemboja, berhampiran dengan Klinik Pesakit Luar Mahmoodiah Johor Bahru. |
Visi, Misi & Objektif
VISI
Memberi perkhidmatan forensik yang cemerlang, profesional tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak dengan berlandaskan kepada peruntukan yang ada di dalam undang-undang negara dan sistem pengurusan berkualiti.
MISI
Jabatan Perubatan Forensik akan menyediakan perkhidmatan forensik yang cemerlang, dinamik, menggunakan teknologi terkini dengan wargakerja yang berilmu, berjiwa murni, peka terhadap keperluan dan kepuasan pelanggan berteraskan budaya kualiti kerja berpasukan dan profesionalisme.
OBJEKTIF
Jabatan Perubatan Forensik bertanggungjawab ke atas perkara-perkara yang berkaitan seperti :
I. Meningkatkan taraf perubatan forensik di Malaysia bagi menyokong sistem perundangan di Negara ini.
II. Menyediakan perkhidmatan forensik yang menyeluruh dengan memberikan perkhidmatan forensik yang bebas dan berkecuali serta tidak terikat dengan mana-mana pihak demi keadilan.
III. Mewujudkan kemahiran dan kecekapan di kalangan kakitangan perubatan dan pengkhususan bagi mengendalikan kes-kes medikolegal yang lebih efektif.
IV. Memberikan khidmat nasihat, khidmat pakar dan pengendalian mayat yang lebih cekap dan mahir.
V. Meningkatkan taraf perkhidmatan sejajar dengan perkembangan teknologi baru untuk membenteras jenayah.
VI. Menjalankan kaji selidik dan mempromosikan penyelidikan dalam bidang perubatan forensik dan sains forensik untuk meningkatkan lagi perkhidmatan yang menyeluruh.
VII. Mengadakan hubungan inter dan intra jabatan yang terlibat dengan masalah forensik.
Lokasi dan Direktori
Sebarang pertanyaan atau permasalahan sila berhubung terus di kaunter Jabatan Perubatan Forensik atau hubungi
Tel: +607-223 1666 samb 2638
Fax : +607 223 7542
Ketua Jabatan : DR. MOHAMAD AZNOOL HAIDY BIN HAJI AHSORORI
E-mail: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.
Lokasi Jabatan Forensic
Landskap pemandangan di Jabatan Perubatan Forensik
Waktu Perkhidmatan
Pada hari bekerja mengikut waktu pejabat iaitu:
Ahad hingga Rabu : 8.00 pagi – 5.00 petang
Khamis : 8.00 pagi – 3.30 petang
(Waktu rehat adalah dari pukul 1.00 – 2.00 petang).
Selepas waktu pejabat / Jumaat / Sabtu / Kelepasan Am adalah waktu beroperasi secara atas panggilan oleh pegawai-pegawai yang telah ditugaskan.
Perkhidmatan yang disediakan
Perkhidmatan asas mortuari iaitu bertindak menguruskan jenazah yang datang dari wad hospital dan yang dibawa dari luar oleh pihak polis (kes ‘brought in dead’-BID).
• Berfungsi sebagai tempat penyimpanan sementara jenazah.
• Penyimpanan dan pengurusan jenazah yang tidak dituntut.
• Melakukan bedah siasat medikolegal seperti kes jenayah (homicide), kemalangan jalan raya (motor vehicle accident), kes membunuh diri (suicide) dan sebagainya setelah memperoleh kebenaran polis melalui borang Polis 61.
• Pengendalian spesimen medikolegal semasa bedah siasat bagi menentukan sebab kematian atau membantu memberikan maklumat kepada polis dalam penyiasatan medikolegal.
• Menyediakan laporan bedah siasat dan memberikan pendapat pakar dalam bidang perubatan forensik untuk digunakan oleh pihak polis, peguam, insurans dan mahkamah.
• Menghadiri sesi mahkamah sebagai saksi profesional atau saksi pakar.
• Melakukan lawatan dan siasatan di tempat kejadian.
• Menjadi pusat pemeriksaan untuk semua kes penemuan rangka tulang manusia yang ditemui di seluruh negeri Johor.
• Menyelia penggalian semula kubur (exhumation)
• Memberikan konsultasi melalui telefon apabila dihubungi oleh hospital luar atau hospital di dalam kawasan liputan.
• Memberikan syarahan dan tunjuk ajar kepada pegawai pelatih separuh perubatan, mahasiswa perubatan, pegawai polis, pegawai perubatan, pegawai perubatan pasca siswazah dan lain-lain.
• Pengurusan kematian dalam bencana ramai mangsa (mass disaster) dan wabak penyakit.
• Menjadi Pusat Identifikasi Orang Hilang (CEMPID - Centre for Missing Person Identification).
Piawaian
Jabatan Perubatan Forensik menggunakan beberapa piawaian dalam tatacara pengendalian jenazah untuk bedah siasat iaitu:
• Kanun Prosedur Jenayah (Criminal Procedure Code)
• Garispanduan Bedah-Siasat Mayat di Hospital-hospital Kementerian Kesihatan Malaysia - MOH/P/PAK/170.08 (CL).
• Laws of Malaysia; Human Tissue Act 1974, Section 4: Body of Deceased Person in Hospital.
Amalan Bedah Siasat
1) Fatwa berkenaan bedah siasat:
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-25 yang bersidang pada 13 Disember 1989 telah memutuskan;
“Pembedahan mayat orang Islam hanya boleh dilakukan jika keadaan benarbenar memerlukan (dharurat) sahaja seperti terlibat di dalam kes-kes jenayah yang sangat memerlukan post mortem atau si mati tertelan benda yang berharga atau si mati yang sedang mengandung sedangkan kandungannya masih hidup.”
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-61 yang bersidang pada 27 Januari 2004 dalam membincangkan mengenai hukum bedah siasat mayat yang kematian bukan dikategorikan kes jenayah telah memutuskan;
“Hukum asal pembedahan mayat adalah haram tetapi dibolehkan sekiranya dalam keadaan dharurat dan terdapat keperluan yang mendesak seperti membuat kajian terhadap penyakit, mengenalpasti punca kematian dan penyelidikan serta pendidikan khususnya dalam bidang perubatan.”
2) Definisi Bedah Siasat Mayat
Bedah siasat atau dalam istilah bahasa Inggeris disebut post-mortem bermaksud suatu pemeriksaan yang dijalankan oleh Pegawai Perubatan Kerajaan ke atas mayat. Ianya melibatkan pemeriksaan luaran dan dalaman untuk mengenalpasti punca kematian dan ciri atau setakat mana perubahan dihasilkan oleh sesuatu penyakit, kimia, radiasi, kemalangan, kecederaan dan lain-lain.
3) Objektif Bedah Siasat Mayat
Pembedahan yang dilakukan ke atas mayat mempunyai objektif-objektif tertentu di antaranya:
i. Untuk mengesahkan identiti si mati.
ii. Untuk mengenalpasti sebab kematian.
iii. Untuk mengetahui punca, cara dan masa kematian.
iv. Untuk menghilangkan keraguan mengenai sebab kematian.
v. Untuk menunjukkan penyakit dan kecacatan.
vi. Untuk mengesan, menggambar dan mendokumenkan penyakit dan kecederaan luar serta dalam.
vii. Mendapatkan sampel untuk dikaji seperti kajian kuman, tisu abnormal dan lain-lain.
viii. Untuk mengambil gambar dan rakaman video bagi tujuan bukti/ barang kes.
ix. Untuk menyediakan laporan bertulis yang lengkap tentang penemuan dalam pemeriksaan mayat.
x. Untuk memberi perkhidmatan pakar tentang interpretasi penemuan semasa pemeriksaan mayat.
xi. Untuk memulih semula keadaan mayat yang cedera teruk sebaik mungkin sebelum diserahkan kepada waris.
xii. Untuk pengajian akademik, menjalankan kajian dan penyelidikan dalam bidang perubatan.
xiii.Untuk meningkatkan kepakaran.
xiv. Untuk membuat kajian rawatan sesuatu penyakit.
xv. Untuk keperluan undang-undang.
4) Jenis-jenis Bedah Siasat Mayat
i. Bedah Siasat Klinikal
Bedah siasat mayat dijalankan bagi mengesahkan punca kematian, kesan sesuatu penyakit atau kecederaan serta bagi tujuan pembelajaran dan penyelidikan. Kes-kes kematian ini tidak berkait dengan kes Polis seperti kes penyakit mudah berjangkit atau kematian di wad. Pegawai Perubatan Kerajaan perlu mendapat keizinan dari waris sebelum membuat bedah siasat. Dalam kes-kes yang melibatkan kepentingan umum seperti kes di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), bedah siasat mayat dibolehkan tanpa perlu merujuk atau mendapat keizinan waris.
ii. Bedah Siasat Medikolegal
Bedah siasat ke atas mayat yang dikaitkan dengan kes Polis seperti kemalangan, mati lemas, kebakaran, pembunuhan dan kematian yang disyaki/ tidak pasti sebabnya. Majistret atau Polis akan mengeluarkan arahan (Borang Polis 61) kepada Pegawai Perubatan Kerajaan untuk menjalankan bedah siasat mayat tanpa perlu merujuk atau mendapat keizinan waris.
5) Keperluan Bedah Siasat Mayat
i. Bedah siasat mayat dilakukan kerana ia keperluan undang-undang untuk membuktikan kebenaran dan menegakkan keadilan bagi si mati dan waris.
ii. Bedah siasat mayat dapat mengelakkan perkara yang tidak diingini yang timbul di masa hadapan setelah mayat dikebumikan.
iii.Hasil bedah siasat mayat dapat digunakan bagi menyelamatkan dan melindungi orang ramai daripada penyakit berjangkit yang berbahaya pada masa akan datang.
iv.Bedah siasat mayat dapat menambah ilmu dan kepakaran dalam bidang perubatan.
v.Kajian daripada hasil bedah siasat mayat dapat meningkatkan tahap kesihatan dan keharmonian hidup masyarakat.
Sumber: http://www.islam.gov.my/rujukan/garis-panduan/53-garis-panduan-bedahsiasat-mayat-menurut-perspektif-islam (Laman web diakses pada 08 November 2020)
PROSES PENGURUSAN JENAZAH DI MORTUARI
PROSES PENGURUSAN JENAZAH DI MORTUARI, JABATAN PERUBATAN FORENSIK HSAJB
PROSES TUNTUTAN JENAZAH/ FETUS/ AMPUTATED LIMB
1) Semua maklumat kematian di wad akan direkodkan di Jabatan Perubatan Forensik sebelum jenazah boleh dituntut dan tuntutan jenazah hanya boleh dilakukan di kaunter jabatan ini oleh pihak waris yang terdekat.
2) Tuntutan Amputated Limb oleh pihak waris boleh dilakukan pada waktu siang hari waktu bekerja.
3) Semasa menuntut jenazah, pihak waris perlu mengemukakan dokumen seperti berikut:
i) kad pengenalan atau dokumen pengenalan diri pihak waris
ii) kad pengenalan atau dokumen pengenalan diri si jenazah
Sekiranya ketiadaan waris yang paling hampir (contohnya: berada jauh di negeri yang tidak memungkinkan waris tersebut datang untuk menuntut), maka jenazah bolehlah dituntut oleh pihak yang menguruskan jenazah bagi pihak si waris dengan syarat satu Surat Kebenaran (Letter of Authorisation) atau Surat Serah Tanggungjawab (Letter of Undertaking) dikemukakan.
Bagi warganegara asing, surat pelepasan dan kebenaran dari kedutaan masing-masing perlulah dikemukakan sebelum jenazah dieksport ke negara asal oleh pihak pengendali jenazah yang dilantik oleh pihak waris atau pihak kedutaan.
4) Dokumen-dokumen seperti berikut akan diberikan kepada pihak waris semasa tuntutan jenazah dibuat:
i) Borang Daftar Kematian / Permit Menguburkan (Borang JPN. LM02)
ii) Borang JPN.LM09 atau JPN.LM10 (Post Mortem) (Borang pengakuan sebab-sebab kematian oleh Pegawai Perubatan)
Tanggungjawab hospital terhadap pengurusan jenazah adalah selesai selepas penyerahan jenazah dan dokumen tersebut kepada pihak waris.
PROSES PENDAFTARAN KEMATIAN DI JABATAN PENDAFTARAN NEGARA
MENDAFTAR KEMATIAN BIASA
Pemohon daftar kematian biasa adalah kematian yang berlaku di Malaysia dan didaftarkan dari tempoh 7 hari dari tarikh kematian.
DOKUMEN YANG PERLU DIKEMUKAKAN OLEH PEMAKLUM ATAU WARIS SI MATI SEMASA HADIR KE PEJABAT JPN
i) Salinan Daftar Kematian/ Permit Mengubur JPN.LM02 (Pin.1/11) yang berwarna biru;
ii) Kad Pengenalan atau dokumen pengenalan diri si mati yang asal;
iii) Kad Pengenalan atau dokumen pengenalan diri pemaklum (asal dan salinan);
iv) Perakuan oleh Pengamal Perubatan mengenai sebab-sebab kematian [Borang JPN.LM09 atau JPN.LM10 (Post Mortem)] sekiranya kematian berlaku di hospital.
INDIVIDU YANG LAYAK MEMBUAT KUTIPAN SIJIL KEMATIAN
i) Ibu atau bapa si mati;
ii) Suami atau isteri si mati;
iii) Anak-anak si mati;
iv) Adik-beradik kandung si mati
BAYARAN
Bayaran permohonan adalah percuma.
Sumber: http://www.jpn.gov.my/kematiansemenanjung (Laman web telah diakses pada 08 November 2020)