Hospital Kluang Lama, yang terletak di atas tanah berkeluasan 15 hektar dengan keluasan binaan 8 hektar, telah mula dibina pada tahun 1929 dan siap sepenuhnya pada tahun 1931. Objektif utama pembinaannya adalah untuk meningkatkan taraf kesihatan komuniti Kluang pada era tersebut. Bangunan Hospital Kluang ini dianggap mempunyai nilai sejarah yang signifikan kerana beberapa bahagiannya, termasuk Pejabat Penyelia, Pejabat Rekod, dan Dewan Sekolah Latihan, pernah dijadikan markas pentadbiran Tentera Jepun sepanjang tempoh pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Selain itu, kawasan hospital ini juga pernah menjadi penempatan bagi Tentera Gurkha. Pembinaan Hospital Kluang Lama ini telah disempurnakan sepenuhnya pada tahun 1984.
Hospital Kluang Lama ini dilengkapi dengan kapasiti 244 buah katil dan 10 buah wad. Secara menyeluruh, kemudahan ini menawarkan perkhidmatan rawatan pesakit luar, rawatan pesakit dalam, serta pelbagai perkhidmatan sokongan kritikal. Antara perkhidmatan sokongan yang disediakan termasuklah Patologi, Tabung Darah, Farmasi dan Bekalan, Pengimejan Diagnostik, Perkhidmatan Pemakanan, Rekod Perubatan, Fisioterapi, Pentadbiran dan Unit Hasil, Kejuruteraan, serta Program Latihan bagi Jururawat Masyarakat.
Hospital Kluang Lama telah beroperasi selama 81 tahun dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk Daerah Kluang dan kawasan sekitarnya. Bagi memenuhi keperluan penduduk Daerah Kluang yang semakin meningkat dan peningkatan keperluan perkhidmatan rawatan kesihatan seiring dengan perkembangan semasa, projek pecah tanah bagi pembinaan Hospital Kluang yang baharu telah dimulakan pada Februari 2006. Pembinaan ini bertujuan untuk menggantikan fasiliti hospital yang sedia ada.
Menyingkap kembali rentetan sejarah berkaitan Hospital Kluang :
1929
Bangunan hospital pertama didirikan di Jalan Mengkibol (di tapak pejabat TNB sekarang)
1930
Hospital dipindahkan ke Jalan Hospital (di tapak workshop/stor TNB sekarang)

1931-1939
Hospital yang sempurna dibangunkan di Jalan Hospital dengan menempatkan bangunan Penyelia, Pejabat Rekod, Dewan Sekolah Latihan pada masa ini berfungsi sebagai Jabatan Pesakit Luar, Bilik Kad, Bilik Daftar Masuk, Bilik Operator, Unit Kemalangan dan Kecemasan serta dewan pembedahan ringan. Rumah kakitangan juga siap dibina.

1940
Hospital dipindahkan ke Sekolah Tinggi Kluang ( dahulu Government English School) dan bangunan hospital di Jalan Hospital dijadikan Pusat Pentadbiran Jepun.
1941
Hospital dipindahkan pula ke Jalan Mersing ( tapak Sek Agama Gunung Lambak sekarang).
1945
Hospital dipindah semula ke bangunan di Jalan Hospital setelah Jepun menyerah kalah.
2006
Pecah tanah bagi pembinaan Hospital Kluang yang baharu.

2011
Perpindahan pengoperasian hospital ke bangunan baharu

2012
Pengoperasian perkhidmatan kesihatan hospital di bangunan baru.
Hospital Kluang Baharu telah memulakan operasi dan dibuka kepada orang awam secara rasmi pada 30 Disember 2011. Pembukaan hospital baharu ini kemudiannya telah disempurnakan perasmiannya oleh Yang Amat Mulia Enche’ Besar Hajjah Khalsom pada 12 Disember 2012. Berikutan dengan perasmian tersebut, nama Hospital Kluang telah dijenamakan semula dan kini dikenali sebagai Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK).

