UNIT KEJURUTERAAN
PENGENALAN
Unit Kejuruteraan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang, Johor (HEBHK) berfungsi sebagai unit teknikal yang memantau serta menyelia perkhidmatan sokongan di HEBHK. Perkhidmatan ini merangkumi Perkhidmatan Pengurusan Fasiliti (FMS), Pengurusan Fasiliti Kejuruteraan (FEMS), Pengurusan Fasiliti Kejuruteraan Bioperubatan (BEMS), Pengurusan Sisa Penjagaan Kesihatan (HWMS), Perkhidmatan Linen dan Dobi (LLS) dan Perkhidmatan Pembersihan (CLS). Selain itu, Unit Kejuruteraan memainkan peranan sebagai juruaudit teknikal di lokasi tertentu untuk memastikan Syarikat Konsesi yang dilantik beroperasi dan menyediakan perkhidmatan yang diperlukan berdasarkan Perjanjian Kontrak yang ditetapkan.
Unit Kejuruteraan HEBHK juga bertindak sebagai penasihat teknikal kepada Pengarah Hospital dan kakitangan berkaitan mengenai tugas dan isu yang memerlukan khidmat nasihat teknikal seperti cadangan untuk projek kemudahan Hospital dan penilaian peralatan. Selain itu, unit ini juga berfungsi untuk menyelesaikan sebarang pertikaian dengan Syarikat Konsesi mengikut piawaian Kejuruteraan, Perjanjian Kontrak dan demi kepentingan Kerajaan Malaysia serta Kementerian Kesihatan Malaysia.
VISI JABATAN
Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang akan sentiasa memberikan perkhidmatan perubatan dan rawatan kesihatan yang terbaik kepada penduduk Kluang khususnya dan masyarakat umumnya.
MISI JABATAN
Kami akan sentiasa berusaha untuk memberi perkhidmatan perubatan dan rawatan bagi meningkatkan tahap kesihatan melalui perkhidmatan rawatan kesihatan yang berkualiti dengan konsep masyarakat penyayang sejajar dengan kehendak Kementerian Kesihatan Malaysia.
OBJEKTIF JABATAN
Kami akan bersungguh-sungguh dalam menyediakan perkhidmatan perubatan dan rawatan kesihatan bagi membantu individu dan keluarga untuk mencapai serta mengekalkan tahap kesihatan yang optimum agar mereka dapat melaksanakan aktiviti social dan ekonomi secara produktif. Hasrat ini dapat dicapai melalui penekanan terhadap kualiti, keselamatan serta amalan kerja berpasukan dan usaha kearah kemajuan yang berterusan.
PIAGAM PELANGGAN
- Pesakit akan diberi rawatan yang berkesan dan bersesuaian dengan masalah kesihatan mereka tanpa mengira umur, jantina, etnik, agama atau status ekonomi secara profesional.
- Pelanggan akan dilayan dengan rasa hormat, mesra, bertimbang rasa, jujur dan ikhlas.
- Privasi dan kerahsiaan pesakit akan sentiasa dipatuhi.
- Kemudahan dan persekitaran yang kondusif, bersih, selesa dan selamat disediakan.
- Pesakit yang memerlukan rawatan yang tidak terdapat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom akan dirujuk ke hospital atau institusi kesihatan lain yang bersesuaian.
SKOP PERKHIDMATAN
- Menjalankan pemeriksaan teknikal di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom Kluang, Johor (HEBHK) ke atas semua lokasi pengguna dan bilik kejuruteraan dan merekodkan semua ketidakpatuhan untuk ditukar kepada potongan yuran perkhidmatan konsesi.
- Mengesahkan dokumen perkhidmatan konsesi untuk memastikan semua data adalah tepat dan merekodkan semua ketidakpatuhan untuk ditukar kepada potongan yuran perkhidmatan konsesi.
- Menilai keadaan kemudahan, peralatan perubatan dan bukan perubatan untuk mencapai sasaran masa operasi yang dikehendaki dan mencadangkan penggantian apabila perlu.
- Mengurus dan menilai dalam tadbir urus aset tak alih.
- Merekod serta mengemaskini data aset tak alih.
- Menyediakan nasihat teknikal yang baik dan cadangan kepada pengguna HEBHK.
- Menyediakan program latihan dan kesedaran pengguna untuk kakitangan Hospital tentang semua prosedur yang melibatkan Perkhidmatan Sokongan Hospital.
