JABATAN PSIKIATRI

PENGENALAN

Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental, Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang telah ditubuhkan sejak tahun 1980an yang mana dahulunya hanya sebuah unit, kini telah dinaiktaraf kepada sebuah jabatan pada tahun 2010. Perkhidmatan awal yang diperkenalkan ialah perkhidmatan pesakit luar, yang mana Pakar Psikiatri daripada Hospital Permai Johor Bahru hadir melaksanakan perawatan psikiatri seminggu sekali dengan bantuan Pegawai Perubatan dan Penolong Pegawai Perubatan yang tidak tetap. Berkenaan kes-kes psikiatri yang memerlukan rawatan pesakit dalam, mereka akan dirujuk ke Hospital Permai Johor Bahru untuk kemasukan. Seterusnya, perkembangan perkhidmatan di dalam komuniti telah dilaksanakan pada tahun 2006, yang mana, seorang jururawat telah ditugaskan untuk melakukan rawatan psikiatri komuniti di bawah bimbingan Pakar Psikiatri Hospital Permai Johor Bahru.

Pada tahun 2009, perkhidmatan psikiatri Jabatan Psikaitri dan Kesihatan Mental, HEBHK telah diambil alih oleh Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat, seminggu sekali sehingga penempatan Pakar Psikiatri tetap diberikan pada 2010. Bermula dari situ, perkembangan perkhidmatan psikiatri menjadi lebih baik dan meluas. Penambahan hari perkhidmatan pesakit luar, kewujudan perkhidmatan pesakit dalam dan penambahan jenis perkhidmatan di komuniti serta kewujudan perkhidmatan terapi elektrokonvulsif adalah diantaranya semenjak kehadiran Pakar Psikiatri tetap. Selain itu, kewujudan Klinik-klinik Psikiatri khas seperti Kanak-Kanak dan Remaja serta Psikogeriatrik memberi bonus kepada penduduk-penduduk daerah Kluang yang memerlukan perawatan lanjut.

Keperluan perkhidmatan psikiatri terus berkembang seiring dengan penambahan sumber manusia, pemodenan dan teknologi ubat-ubatan dan terapi sokongan yang lain. Kini, Jabatan ini mempunyai 3 orang Pakar Psikiatri, 5 orang Pegawai Perubatan, 3 orang Penolong Pegawai Perubatan, 2 orang jururawat terlatih (gunasama) dan 3 orang staf sokongan. Lokasi Klinik Psikiatri ini terletak di Klinik Pakar 1 manakala rawatan pesakit dalam mempunyai 3 buah katil di Wad Perubatan Lelaki (Wad 9B) dan 3 buah katil di Wad Perubatan Perempuan (9A).

VISI JABATAN

Kami akan berusaha dalam membentuk masyarakat yang seimbang, produktif dan sihat secara psikologi melalui penekanan terhadap promosi kesihatan mental, pencegahan masalah psikososial, perawatan serta pemulihan yang mapan.

MISI JABATAN

Kami akan berusaha menyediakan perkhidmatan rawatan dan rehabilitasi psikososial yang komprehensif dan berkualiti kepada klien-klien yang mempunyai masalah kesihatan mental agar mereka dapat kembali kepada masyarakat dan mempunyai kualiti hidup yang lebih baik.

OBJEKTIF JABATAN

Menyediakan perkhidmatan psikiatri dan kesihatan mental yang berkualiti kepada klien-klien yang memerlukan.
Memberikan pendidikan dan kesedaran berkaitan masalah psikiatri dan kesihatan mental serta mempromosikan kesihatan mental.
Menyediakan persekitaran yang selamat dan selesa dalam memberikan perkhidmatan psikiatri.

PIAGAM PELANGGAN

Kami berjanji:

  • Menyediakan dan membuat saringan kad-kad rawatan yang mempunyai temujanji sehari sebelum hari klinik.
  • Pelanggan akan dilihat oleh pegawai perubatan dalam masa 90 minit dari masa kehadiran pelanggan di klinik.
  • Penyediaan laporan perubatan yang dipohon dengan lengkap dalam masa 28 hari bekerja.

SKOP PERKHIDMATAN

Fungsi utama dan perkhidmatan Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental adalah:

Perkhidmatan pendiagnosan, rawatan, rawatan susulan dan pemulihan kepada pesakit psikiatri. Perkhidmatan-perkhidmatan psikiatri yang diberi termaktub di bawah Akta Kesihatan Mental 2001 dan Regulasi Kesihatan Mental 2010.

Skop perkhidmatan termasuk:

  • Rawatan di Klinik Pakar.
    1. Kes baru.
    2. Kes susulan.
    3. Klinik lawatan pakar kanak-kanak dan remaja.
  • Perkhidmatan rawatan pesakit dalam wad.
  • Perkhidmatan unit komuniti psikiatri.
  • Perkhidmatan liaison.
  • Perkhidmatan atas panggilan 24jam (oncall) bagi kes kecemasan psikiatri di Jabatan Kecemasan dan juga kes kecemasan psikiatri di wad.
  • Perkhidmatan rujukan antara hospital dan klinik Kesihatan.
  • Promosi kesihatan mental.

Menu Mobile